Termez State University ajak pensyarah dan pelajar UUM ke Uzbekistan
Gambar Hairul Nizam Zahari
SINTOK, 10 Mac 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima kunjungan rasmi delegasi Termez State University (TERSU), Uzbekistan bagi majlis pertukaran dokumen Program Pertukaran Akademik TERSU-UUM yang berlangsung di Balai Tamu UUM, semalam.
Delegasi TERSU yang diketuai Naib Rektor Hal Ehwal Antarabangsa, Gafur Togaev disambut oleh Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed.

Dalam ucapannya, Dr. Ahmad Martadha berkata, pertukaran dokumen tersebut menandakan satu lagi langkah penting dalam memperkukuhkan kerjasama antara kedua-dua universiti yang dijangka memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
Menurutnya, UUM juga bersedia menawarkan kepakaran akademik kepada TERSU sebagai sebahagian daripada usaha memperluaskan jaringan kerjasama pendidikan antarabangsa.
“Saya berbesar hati kerana dijemput menyertai program yang dilaksanakan oleh kedua-dua universiti. UUM akan menerima lebih ramai peserta mobiliti dari universiti tersebut dan pada masa yang sama menghantar staf akademik UUM ke TERSU pada masa akan datang,” katanya.
Beliau turut berharap lebih banyak program pertukaran dapat dilaksanakan pada masa hadapan, bukan sahaja melibatkan staf akademik tetapi juga staf pentadbiran.

“Saya percaya ramai yang menantikan peluang untuk melawat Uzbekistan, sebuah negara yang kaya dengan sejarah dan kini semakin popular sebagai destinasi pendidikan dan pelancongan,” katanya.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Pusat Hal Ehwal dan Kerjasama Antarabangsa (CIAC) serta pusat pengajian yang terlibat dalam menjayakan kerjasama tersebut.
Tambahnya, UUM komited memastikan pelajar dari TERSU memperoleh pengalaman pembelajaran dan kehidupan kampus yang bermakna sepanjang berada di universiti itu.
“Persekitaran baharu ini akan memberi perspektif segar kepada pelajar dari TERSU, di mana mereka bukan sahaja dapat menimba ilmu, malah berpeluang menikmati pelbagai pengalaman menarik sepanjang berada di UUM,” katanya.

Sementara itu, Gafur Togaev berkata, kerjasama antara TERSU dan UUM mencerminkan komitmen bersama dalam memperkasakan pendidikan serta memperluaskan jaringan akademik antarabangsa.
Menurutnya, di peringkat antarabangsa, apabila UUM disebut, ia turut mencerminkan imej Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai institusi pendidikan berkualiti.
“Bagi pelajar Termez State University, UUM dilihat sebagai tempat menimba ilmu dan pusat kebijaksanaan yang dihuni oleh masyarakat yang mesra,” katanya.
Beliau menambah bahawa UUM bukan sekadar universiti rakan kerjasama, malah sebuah institusi yang amat dekat di hati warga TERSU.
“Apabila kita melihat ke hadapan, hubungan antara Termez State University dan rakan-rakan kami di Malaysia, khususnya Universiti Utara Malaysia telah melangkaui batas bilik kuliah dan menjadi salah satu tonggak penting dalam persahabatan berterusan antara Uzbekistan dan Malaysia,” katanya.
Beliau turut menjemput warga UUM untuk mengunjungi bandar purba Termes di Uzbekistan yang terkenal sebagai pusat kelahiran tokoh hadis, ahli falsafah dan pemikir agung, selain kaya dengan sejarah serta warisan tamadun Islam dan budaya Uzbekistan.



