Tiga Bidang, Satu Misi: Simposium Penyelidikan Transdisiplinari KOMPaS-YSD
Gambar Prof. Dr. Rosna Awang Hashim
SINTOK, 10 APril 2025: Institute of Excellent Teachers and Leaders in Education (IETLE), Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Wacana IETLE bertajuk “KOMPaS-YSD PhD Symposium: Navigating At-Risk Student Engagement”.
Simposium ini telah berlangsung secara dalam talian dan merupakan sebahagian daripada inisiatif di bawah Program Penyelidikan Komitmen Kedah Mendidik Pelajar Sukses (KOMPaS), sebuah program penyelidikan berimpak tinggi yang memfokuskan kepada usaha menangani isu murid berisiko tercicir.
Penyertaan simposium melibatkan para penyelidik dan duta-duta KOMPaS, serta pelajar-pelajar PhD dari dalam dan luar negara. Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sime Darby (YSD), Dr. Yatela Zainal Abidin, bersama barisan pegawai kanan YSD yang komited dalam menyokong usaha memperkasa pendidikan negara.
Yayasan Sime Darby (YSD) merupakan penaja utama bagi Program Penyelidikan KOMPaS, sekali gus memperkukuh komitmennya dalam melahirkan barisan penyelidik muda yang berpotensi besar. Selari dengan aspirasi untuk membentuk bakat baharu dalam dunia penyelidikan, YSD telah menaja tiga orang pelajar PhD melalui program KOMPaS sebagai usaha melahirkan pakar penyelidikan masa depan yang mampu menyumbang secara signifikan kepada pembangunan pendidikan negara.
Simposium ini merupakan cetusan idea inovatif felo penyelidik IETLE, Prof. Dr. Rosna Awang Hashim yang merupakan pelopor kepada program penyelidikan KOMPaS.
Menurutnya, ketiga-tiga pelajar PhD yang terlibat datang daripada tiga pusat pengajian berbeza di bawah Kolej Sastera dan Sains (CAS).
“Ketiga-tiga pelajar ini telah digabungkan dalam satu pasukan penyelidikan yang memanfaatkan kepakaran daripada tiga bidang berbeza, namun saling melengkapi dalam menangani isu murid berisiko tercicir.
“Selain diberi pendedahan menyeluruh terhadap metodologi penyelidikan yang kukuh, para pelajar ini turut melalui pengalaman lapangan yang melibatkan interaksi secara langsung dengan komuniti sasaran,” katanya.
Pembentangan oleh YSD Scholar dimulakan oleh Amera Hanna Mohd Tajuddin dari Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) dengan tajuk Strategic Communication Approach in Addressing Dropout among At-risk Students in Secondary School yang membicarakan pendekatan komunikasi strategik dalam menangani isu murid berisiko tercicir. Kupasan beliau membuka ruang baharu dalam memahami peranan komunikasi yang berkesan dalam memupuk minat murid terhadap pembelajaran di sekolah.
Kemudian disusuli oleh Nor ‘Ain Mohamad Hadis dari Pusat Pengajian Pendidikan (SOE) dengan kajiannya yang bertajuk Exploring School Disengagement among Dropout At-Risk Adolescents from Self-Determination Theory Perspective. Beliau mengetengahkan dapatan tentang faktor murid cenderung untuk tercicir dari persekolahan. Perbincangan beliau memberi pemahaman baharu dalam bidang psikologi pendidikan dari sudut pandang Teori Penentuan Kendiri.
Seterusnya, Laura Lim Sie Yi dari Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC) membentangkan kajiannya bertajuk An Adaptive Computational Model for Early Prediction of School Disengagement among at-Risk Students. Kajian beliau menggambarkan potensi teknologi sebagai alat intervensi awal yang dapat menyelamatkan masa depan anak bangsa.
Nor ‘Ain menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menyokong kejayaan penyelidikan KOMPaS-YSD, khususnya Yayasan Sime Darby. Beliau menyifatkan kolaborasi ini sebagai jambatan kukuh yang bukan sahaja menyatukan dunia akademik dan profesional, tetapi juga membuka jalan kepada lahirnya bakat-bakat penyelidik muda yang bukan sahaja berilmu, tetapi mampu menjiwai keperluan untuk bersama membangunkan masyarakat.
Ketua Penyelidik Program KOMPaS-YSD, Prof. Dr. Norhafezah Yusof turut menyampaikan penghargaan kepada barisan pengurusan tertinggi YSD, khususnya Ketua Pegawai Eksekutifnya dalam memberi pandangan yang membina, sekaligus memperkukuh kesepadanan antara tiga bidang penyelidikan bagi memberikan impak besar kepada kesejahteraan komuniti serta pembangunan pendidikan negara.
Simposium ini menjadi lebih bermakna dengan kehadiran duta KOMPaS iaitu mahasiswa UUM yang telah melibatkan diri secara langsung dalam aktiviti penyelidikan. Duta-duta KOMPaS bersama para penyelidik telah mendampingi murid-murid kumpulan sasaran selama tiga tahun. Salah seorang daripadanya, Haiman Syamil Hishamuddin, pelajar dari program Ijazah Sarjana Muda Komunikasi, menyatakan bahawa pengalaman mendampingi murid-murid berisiko tercicir ini telah mengajar beliau tentang erti ketabahan.
“Adik-adik Permata KOMPaS telah membuka mata saya bahawa dalam kegetiran hidup, kekuatan hati dan kesungguhan mampu menjadi pendorong untuk keluar daripada kegelapan. Peluang melibatkan diri dengan KOMPaS mengajar erti tanggungjawab untuk membantu golongan yang memerlukan,” katanya.
Simposium ini melabuhkan tirainya dengan ucapan penuh inspirasi daripada Dr. Yatela yang merakamkan penghargaan atas kesungguhan para penyelidik muda, iaitu ketiga-tiga pelajar PhD yang ditaja oleh YSD.
Beliau menzahirkan keyakinan bahawa kajian ini berpotensi mencorak dasar pendidikan yang inklusif dan lestari. Dr. Yatela turut menekankan pentingnya refleksi kritikal untuk memastikan kualiti penyelidikan terus dipertingkatkan di masa hadapan. – Dr. Mohd Fairuz Jafar dan Prof. Madya Dr. Hasniza Nordin