Tiga pelajar STML antara 10 pemenang terbaik Pertandingan AI-Free Writing: Let’s Originality Speak
Berita dan gambar Dr. Mawaddah Mohamad
PULAU PINANG, 22 Oktober 2025: Tiga pelajar dari Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah disenaraikan antara 10 pemenang terbaik dalam Pertandingan AI-Free Writing: Let’s Originality Speak, sekali gus membawa pulang pingat, hadiah wang tunai dan sijil penghargaan.
Pertandingan yang dianjurkan oleh Persatuan Pertubuhan Pakar Logistik Malaysia (LogM) itu berlangsung di AK Academy, dengan penyertaan lebih 50 peserta individu daripada pelbagai institusi pengajian tinggi tempatan.
Tiga pelajar STML yang berjaya menempatkan diri dalam senarai Top 10 ialah Shobheneswary A/P Krishna Samy, Nurzulaikha Ahmad Saad, dan Muhammad Danish Azham.
Shobheneswary melahirkan rasa gembira dengan kemenangan ini dan menganggapnya sebagai hadiah bermakna sempena sambutan Deepavali.
Sementara itu, Muhammad Danish menyifatkan pertandingan tersebut sebagai platform yang memberi peluang kepada pelajar untuk berkenalan dan bertukar pandangan dengan rakan serta pensyarah daripada pelbagai institusi lain.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Presiden LogM, Prof. Dato’ Log. Ts. Dr. Chang Kah Loon.
Pertandingan ini bertujuan menggalakkan penulis menghasilkan karya asli tanpa bantuan Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence, AI) serta memupuk kemahiran bercerita yang mencerminkan pandangan dan kreativiti kendiri.
Majlis turut dimeriahkan dengan perkongsian santai oleh wakil industri dari Ideal Health Care Sdn. Bhd. dan AK Shipping Sdn. Bhd.