Education

Tiga pensyarah UUM dilantik Penasihat Teknologi Linyi Science and Technology market

Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Mohamad Farhan Mohamad Mohsin

CHINA, 11 November 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus mengharumkan nama di persada antarabangsa apabila tiga pensyarah dari Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC) telah dilantik sebagai Penasihat Teknologi  bagi Linyi Science and Technology Market di Shandong.

Pelantikan tersebut disampaikan secara rasmi dalam seminar Qilu International Lecture Hall on Artificial Intelligence Empowering Industrial Innovation and Accelerating the Development of New-Quality Productive Forces, yang diadakan di Dewan Ceramah Yimeng, Kampus Utama Linyi University, baru-baru ini.

Program ini merupakan sebahagian daripada siri Qilu International Lecture Hall 2025 yang dianjurkan bersama oleh Linyi Municipal Science and Technology Bureau dan Linyi University.

Tiga pensyarah yang menerima pelantikan ini ialah Prof. Dr. Osman Ghazali, Prof. Madya Dr. Mohamad Farhan Mohamad Mohsin dan Dr. Muhammad Syafiq Mohd Pozi.

Mereka dilantik untuk tempoh tiga tahun bermula 2025 hingga 2028 sebagai pengiktirafan terhadap kepakaran mereka dalam bidang AI, IoT, blockchain dan inovasi teknologi industri, .

Sepanjang program berkenaan, ketiga-tiga pensyarah ini turut dijemput sebagai pakar antarabangsa untuk membentangkan topik berkaitan blockchain dan pengesahan akademik, sistem pintar dalam pertanian serta dynamic neural network dalam persekitaran pasca-5G.

Turut serta ialah pakar dari Saint Petersburg State University (Rusia), Linyi University, Shandong University, Jinan University dan Qingdao University yang berkongsi pandangan tentang AI, data raya dan smart manufacturing.

Selain sesi pembentangan, program ini turut merangkumi perbincangan akademik, jaringan industri dan lawatan ke syarikat-syarikat teknologi utama di Shandong, termasuk Tianhe Industrial Park dan Deep (Shandong) Digital Technology Group Co., Ltd.

Dr. Osman yang juga Dekan SOC merangkap Penolong Naib Canselor, UUM CAS berkata, pelantikan ini merupakan bukti kemampuan universiti memperkukuh kerjasama strategik antara Malaysia dan China dalam bidang kecerdasan buatan dan transformasi digital.

Sementara itu, Dr. Mohamad Farhan, yang juga Timbalan Pengarah Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC) turut mengambil peluang untuk berkongsi mengenai projek-projek pembangunan komuniti berasaskan inovasi dan teknologi yang dilaksanakan oleh penyelidik UUM di bawah inisiatif CUIC termasuk projek sistem pintar pertanian yang sedang dibangunkan.

Program ini turut disokong oleh Shandong Provincial Department of Science and Technology serta Linyi Municipal People’s Government dengan objektif memperkukuh kerjasama inovasi universiti dan industri serta mempercepatkan pemodenan industri berasaskan kecerdasan buatan di wilayah tersebut.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button