TISSA-UUM dan 24 universiti Indonesia perkukuh kerjasama serantau
SINTOK 28 Mei 2025: Kunjungan daripada Asosiasi Dosen Akuntansi Indonesia (ADAI) ke Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) yang melibatkan 50 pensyarah dan pelajar pascasiswazah dalam bidang perakaunan dari 24 buah universiti di Indonesia membuka ruang untuk TISSA UUM menarik lebih ramai pelajar untuk mengikuti program terutamanya program siswazah.
Menurut Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad, Dekan TISSA-UUM dalam ucapan beliau menyatakan bahawa program seumpama ini bukan sahaja mampu untuk menjadi medan pertukaran pandangan dan pendapat dalam bidang perakaunan sebaliknya akan memberikan ruang untuk saling mempelajari nilai terbaik yang boleh dicontohi ke arah pemantapan dan pelaksanaan program perakaunan.
Bagi pihak ADAI yang diwakil oleh Dr. Arfan Ikhsan, Pengerusi ADAI mengharapkan agar kerjasama ini sebagai permulaan awal dalam pelaksanaan kerjasama dalam aktiviti lain yang akan memberikan manfaat kepada kedua belah pihak. Penyerahan Surat Penyataan Hasrat (LOI) oleh pihak UUM kepada ADAI menjadi tanda komitmen ke arah kerjasama yang lebih erat lagi pada masa akan datang.
Dalam majlis yang sama juga turut diadakan sesi pembentangan melalui program Simposium Penyelidikan Perakaunan serta perbincangan tertutup antara wakil institusi. Penganjuran simposium ini turut menyumbang kepada usaha UUM dalam memperkukuhkan reputasi antarabangsa serta menyokong pelaksanaan pelan pembangunan akademik universiti, khususnya dalam membina rangkaian global yang berdaya saing di rantau ASEAN.
Perbincangan antara wakil universiti dan penjawat TISSA-UUM telah membuka ruang kepada kerjasama dalam aktiviti penganjuran seminar bersama, jemputan penceramah ucaptama, geran penyelidikan berpadanan, pertukaran pelajar dan pensyarah, program latihan dan konsultasi, serta program khidmat masyarakat kepada komuniti setempat.
TISSA-UUM yakin program seumpama ini dapat diteruskan secara berkala bagi memperkukuh budaya akademik yang progresif serta melonjakkan impak penyelidikan dalam bidang perakaunan di peringkat serantau dan antarabangsa. – Prof. Madya Dr. Arifatul Husna Binti Mohd Ariff