Education

UUM dan Athena Holdings Sdn. Bhd. perkasa 200 gadis remaja Pulau Tuba

LANGKAWI: Program SE-TAUHID 2.0 for Womenpreneurs and Teenagers 2024 telah mencapai matlamat utama untuk memperkasa 200 gadis remaja di Pulau Tuba.

Program ini yang dianjurkan oleh Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama erat Athena Holdings Sdn. Bhd. bertujuan untuk memberikan kemahiran kritikal dan penghayatan nilai-nilai Islam kepada peserta sambil menggabungkan pendekatan moden untuk memajukan masyarakat.

Sepanjang tiga hari, program ini memberikan pelbagai modul yang berfokus pada keusahawanan sosial, pendidikan dan pengukuhan nilai-nilai tauhid.

Athena Holdings Sdn. Bhd., sebagai rakan strategik utama memainkan peranan penting dengan menyediakan sumber dan sokongan yang signifikan termasuk kit pembelajaran yang dirancang khusus untuk memperkasakan gadis remaja. Sumbangan Athena Holdings bukan sahaja berbentuk material sebanyak RM49,000 tetapi juga menunjukkan komitmen mereka dalam membangunkan potensi belia wanita di Pulau Tuba.

Felo Komuniti CEDI, Anja Juliah melalui pendekatan berteraskan komuniti, berjaya mencipta persekitaran pembelajaran yang interaktif dan inklusif.

Peserta diajak untuk berfikir secara kreatif dan kritis melalui pelbagai aktiviti yang direka untuk meningkatkan keyakinan diri serta kemahiran kepimpinan mereka. Modul ‘Girls’ Empowerment’ yang dikendalikan oleh pasukan Athena Holdings, adalah antara komponen utama program ini yang memberi tumpuan kepada pembangunan kepimpinan dalam kalangan gadis remaja, dengan menekankan kepentingan nilai-nilai Islam dan keusahawanan sosial.

Salah satu usaha ini adalah dengan mengadakan slot interaktif Bahasa Inggeris yang melibatkan Unit Bahasa Inggeris SLCP yang dijalankan di Masjid Al-Wafa, Pulau Tuba. Sesi ini bukan sahaja mempertingkatkan kemahiran bahasa Inggeris peserta tetapi juga menggabungkan unsur-unsur keagamaan dan sosial untuk melahirkan individu yang holistik, berdaya saing dan beretika.

Program SE-TAUHID 2.0 juga menampilkan golongan ilmuwan Islam menerusi UPIF, Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP) yang berusaha mencari pendekatan moden untuk memperkasa masyarakat melalui institusi masjid.

Pengarah Program SE-TAUHID 2.0, Prof Madya Dr. Mohd Nizho Abdul Rahman berkata, bahawa kejayaan program ini adalah hasil daripada usaha kolektif semua pihak yang terlibat.

Beliau juga menekankan bahawa penglibatan aktif Athena Holdings dalam ekosistem UUM telah memperkukuh lagi semangat dan tekad UUM untuk terus berkhidmat kepada komuniti.

Kerjasama antara UUM, Athena Holdings Sdn. Bhd. dan Koperasi Kepulauan Tuba dan Selat (KOPTUBAS) telah memberikan impak yang mendalam terhadap komuniti Pulau Tuba. Sejak kerjasama ini bermula pada 2020, pelbagai perubahan positif telah dicapai dan program SE-TAUHID 2.0 menjadi bukti nyata keberkesanan pendekatan kolaboratif ini. Komitmen bersama ini telah memperkasakan peserta dengan pengetahuan, kemahiran dan semangat yang diperlukan untuk membawa perubahan positif dalam komuniti mereka.

SE-Tauhid 2024 turut dihadiri Pengarah Eksekutif CEDI, Prof. Madya Dr. Shazida Jan Mohd Khan dan dan Timbalan Pengarah Eksekutif CEDI, Dr. Juhaida Abu Bakar. – Nur Alyaa Athirah Annur Sadat

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button