Education

UUM dan KPT satukan langkah dalam SPPK 2025, CEDI komited lahir graduan usahawan pencipta pekerjaan

Gambar Muhammad Khairul Amri Ahmad

LANGKAWI, 14 Julai 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI) terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju pembangunan ekosistem keusahawanan apabila diberi tanggungjawab sebagai IPT Penyelaras bagi penganjuran Mesyuarat Sekretariat Pengarah-Pengarah Pusat Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi (SPPK) Bil. 1/2025 yang berlangsung selama empat hari di Ombak Villa, Langkawi.

Program anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ini menghimpunkan pengarah-pengarah pusat keusahawanan dari seluruh institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) dan institusi Pendidikan Dan Latihan Teknikal & Vokasional (TVET) negara sebagai platform strategik untuk memperhalusi hala tuju dan pelaksanaan agenda keusahawanan IPT pasca 2025.

Hari pertama dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik, KPT, Fazidah Mustafa, yang menekankan kepentingan memperkukuh ekosistem keusahawanan sebagai pemangkin kepada pembangunan negara selaras dengan aspirasi Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2030.

Beliau turut menggalakkan kolaborasi merentas sektor antara IPT dan industri bagi memperkayakan pengalaman keusahawanan pelajar. Seterusnya, peserta mesyuarat telah diberikan taklimat mengenai pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Keusahawanan IPTA bagi tempoh 2021 hingga 2024 oleh Unit Keusahawanan, Bahagian Perancangan Strategik KPT.

Pembentangan ini memberikan gambaran menyeluruh tentang tahap pelaksanaan Pelan Tindakan Keusahawanan IPT 2021–2025, termasuk penglibatan pelajar dalam program keusahawanan, bilangan pelajar yang telah mendaftar perniagaan, serta pelaksanaan kursus berkredit keusahawanan di peringkat IPT.

Sesi hari pertama turut diserikan dengan perkongsian inisiatif oleh Pengarah Eksekutif CEDI UUM, Prof. Madya Dr. Shazida Jan Mohd Khan yang membentangkan amalan terbaik UUM dalam memperkasa keusahawanan pelajar.

Antara inisiatif yang dikongsikan termasuk pelaksanaan program keusahawanan sosial melalui geran Yayasan Hasanah, pendekatan pembelajaran berasaskan projek (PBL), serta jalinan kerjasama strategik bersama ANGKASA dan agensi seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC). Perkongsian ini membuka mata peserta terhadap model yang boleh diteladani dalam membentuk pelajar bukan sekadar pencari pekerjaan, tetapi pencipta peluang ekonomi.

Hari kedua menyaksikan Majlis Perasmian SPPK 1/2025 yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), KPT, Dato’ Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian. Dalam ucapannya, beliau menegaskan pentingnya pendidikan tinggi membina daya tahan dan kreativiti pelajar agar mampu menjadi usahawan yang menyumbang kepada pembangunan negara.

Beliau juga menyeru agar dokumen strategik pasca 2025 mengambil kira perubahan landskap pekerjaan dan teknologi, sekali gus menjadikan graduan IPT sebagai peneraju inovasi negara.

Seterusnya, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) membentangkan rangka kerja awal pembangunan Pelan Tindakan Keusahawanan IPT 2026–2030 yang akan menjadi kesinambungan kepada pelan semasa. Rangka kerja tersebut memberi tumpuan kepada integrasi nilai keusahawanan dalam kurikulum, pemantapan program berimpak tinggi dan pengukuhan sinergi bersama pihak industri.

Susulan pembentangan tersebut, peserta terlibat dalam perbincangan kumpulan untuk memberi input terhadap draf pelan tindakan baharu. Sesi ini telah mencetuskan pertukaran idea yang bernas melibatkan aspek pemerkasaan pelajar, keselarasan program latihan dan penyelarasan pemantauan impak. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut tampil membentangkan rangka kerja Kajian Impak PTK IPT 2021–2025 yang memfokuskan kepada pencapaian objektif pelan sedia ada dan cadangan penambahbaikan berasaskan dapatan data sebenar daripada IPT. Kajian ini memperlihatkan peningkatan penglibatan pelajar dalam aktiviti keusahawanan serta pertumbuhan ketara pendaftaran perniagaan pelajar di bawah entiti yang sah.

Dr. Megat Sany turut mengadakan lawatan ke Pusat Penyelidikan Langkawi (Langkawi Research Centre) UKM yang mengetengahkan potensi penyelidikan dalam bidang biodiversiti dan inovasi lestari untuk dikomersialkan bersama komuniti serta sektor industri. Lawatan ini membuka ruang kepada dialog baharu dalam memperluas dimensi keusahawanan melalui hasil penyelidikan akademik yang bernilai tinggi.

Bertemakan “Beach and Bliss” menjadi pentas kepada Majlis Makan Malam dan Penyampaian Anugerah Pencapaian KPI Keusahawanan IPTA Tahun 2024 di mana sebanyak enam IPTA telah menerima anugerah pengiktirafan atas pencapaian 100 peratus KPI keusahawanan, satu pencapaian membanggakan yang mencerminkan iltizam institusi-institusi tersebut dalam memperkasakan agenda keusahawanan secara menyeluruh.

Dalam ucapan Dr. Megat Sany merakamkan ucapan tahniah kepada para penerima dan menyeru agar kejayaan ini dijadikan inspirasi untuk memperkukuh lagi inisiatif keusahawanan di semua IPTA.

Sebagai IPT Penyelaras, CEDI UUM menzahirkan penghargaan kepada KPT atas kepercayaan yang diberikan dan bertekad untuk terus memainkan peranan aktif dalam memperkukuh agenda keusahawanan pendidikan tinggi negara. Mesyuarat SPPK Bil. 1/2025 bukan sahaja menjadi medan perbincangan dasar, tetapi turut memperkukuh rangkaian kerjasama dan semangat kolektif antara semua institusi dalam membina masa depan keusahawanan IPT yang lebih gemilang menjelang 2030. – Akmal Ahlami Md Rozai

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button