Education

UUM dan PSU Trang perkukuh kerjasama strategik ASEAN

Berita dan gambar Prof. Dr. Noor Afza Amran

THAILAND, 23 Februari 2026: Delegasi Pusat Tanggungjawab (PTJ) di bawah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan lawatan Academic Engagements and Knowledge Sharing Activities ke Fakulti Perdagangan dan Pengurusan, Prince of Songkla University (PSU), Kampus Trang, Thailand dari 9 hingga 13 Februari lalu.

Lawatan ini melibatkan tiga Pusat Tanggungjawab (PTJ) utama iaitu Asian Research Institute for Corporate Governance (ARICG), Economic and Financial Policy Institute (ECOFI) dan Institute of Strategic and Sustainable Accounting Development (ISSAD).

Delegasi telah dijemput bagi memperkukuhkan jaringan strategik dalam bidang penyelidikan, konsultansi serta perkongsian kepakaran ilmiah, sekali gus memantapkan hubungan akademik antara Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Prince of Songkla University (PSU) Kampus Trang.

Sepanjang lawatan tersebut, Pengarah ARICG, Prof. Dr. Noor Afza Amran telah berkongsi pengalaman dan amalan terbaik dalam menjayakan projek pemerkasaan peniaga wanita Changloon pada tahun 2025 yang merupakan antara inisiatif komuniti berimpak tinggi UUM.

Menurutnya, projek ini memfokuskan kepada peningkatan kompetensi pengurusan perniagaan, pengukuhan daya saing, serta memperkasakan kedudukan ekonomi wanita setempat secara mampan dan berterusan.

Pihak PSU Trang menyatakan minat untuk memperluaskan model latihan tersebut kepada peniaga wanita Thai di Trang sebagai sebahagian daripada inisiatif pembangunan komuniti rentas sempadan.

Kerjasama ini dilihat berpotensi untuk dilaksanakan melalui program latihan bersama, pertukaran kepakaran serta projek penyelidikan yang memberi manfaat langsung kepada komuniti setempat.

Inisiatif seumpama ini bukan sahaja memperkukuhkan hubungan strategik antara institusi, malah memberi impak langsung terhadap pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) antarabangsa universiti, pemantapan jaringan MoU/MoA, penghasilan kolaborasi penyelidikan rentas negara yang berimpak tinggi, penerbitan bersama, serta peningkatan keterlihatan dan reputasi institusi dalam ekosistem akademik ASEAN.

Lawatan ini menjadi platform penting dalam memperkasakan agenda pengantarabangsaan UUM, selari dengan aspirasi universiti untuk terus memperluas jaringan strategik serantau dan memperkukuh reputasi sebagai universiti pengurusan terkemuka di peringkat antarabangsa.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button