Education

UUM DAN RHB ISLAMIC BANK BERHAD JAYAKAN PROGRAM PENGURUSAN KEKAYAAN ISLAM, PERKUKUH KERJASAMA INDUSTRI-AKADEMIA

Gambar oleh: Dr Mohamad Yazid Isa

SINTOK: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Pusat Pengajian Perniagaan Islam (Islamic Business School – IBS), UUM, dengan kerjasama RHB Islamic Bank Berhad telah berjaya menganjurkan Program Pengurusan Kekayaan Islam (Islamic Wealth Management – IWM 2026) selama dua hari pada 2 dan 3 November 2026 bertempat di UUM, Sintok, Kedah.

Program yang menghimpunkan pakar industri, ahli akademik serta pelajar ini merupakan satu inisiatif strategik bagi meningkatkan kefahaman dan kesedaran mengenai konsep, prinsip serta amalan pengurusan kekayaan berlandaskan Syariah. Program ini juga berpotensi menjadi antara program pertama di Malaysia yang menggabungkan kepakaran institusi perbankan Islam dan universiti awam dalam penganjuran program khusus berkaitan Pengurusan Kekayaan Islam.

Majlis dan program ini telah diterajui oleh Prof Madya Dr Hj Mohd Zakhiri bin Hj Md Nor, CSAA, CPIF, IFP dari Pusat Pengajian Perniagaan Islam, UUM, dengan penglibatan barisan penceramah yang terdiri daripada tokoh industri dan pengamal profesional dalam bidang pengurusan kekayaan Islam.

Dalam kata-kata aluan, Profesor Dr Selamah Maamor, Penolong Naib Canselor, UUM College of Business merangkap Dekan Pusat Pengajian Perniagaan Islam (AACSB-Accredited), menyambut baik penganjuran program ini sebagai satu platform penting dalam memperkukuh hubungan strategik antara universiti dan industri.

Beliau menegaskan bahawa kerjasama antara institusi pengajian tinggi dengan pemain industri merupakan elemen penting dalam memastikan ilmu yang disampaikan di universiti sentiasa relevan dengan perkembangan dan keperluan semasa industri.

Menurut beliau, Pengurusan Kekayaan Islam merupakan satu bidang yang semakin penting dalam landskap kewangan Islam global, khususnya dalam membantu masyarakat merancang, membina, melindungi, membersihkan dan mengagihkan kekayaan mengikut prinsip serta nilai-nilai syariah.

Beliau turut berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan secara berterusan bagi memperluas pendedahan kepada warga akademik dan pelajar, di samping membuka lebih banyak ruang perkongsian ilmu, penyelidikan bersama serta pembangunan bakat antara universiti dan industri.

Program dua hari ini memberi tumpuan kepada empat tonggak utama Pengurusan Kekayaan Islam, iaitu:

  1. Penjanaan dan Pengumpulan Kekayaan (Wealth Generation / Accumulation) – Merangkumi strategi menjana pendapatan, membina aset dan mengumpul kekayaan melalui kaedah yang dibenarkan syariah.
  2. Perlindungan Kekayaan (Wealth Protection) – Memberi penekanan kepada kepentingan melindungi aset dan kesejahteraan kewangan melalui instrumen serta mekanisme perlindungan yang patuh syariah.
  3. Penyucian Kekayaan (Wealth Purification) – Menjelaskan tanggungjawab penyucian harta melalui zakat, sedekah dan instrumen kebajikan Islam yang lain.
  4. Pengagihan Kekayaan (Wealth Distribution) – Membincangkan perancangan dan pengagihan harta melalui instrumen seperti faraid, wasiat, hibah dan amanah bagi memastikan kesinambungan serta pengagihan kekayaan secara teratur dan adil.

Antara barisan penceramah yang telah berkongsi kepakaran dan pengalaman sepanjang program ialah Dato’ Adissadikin, Pengarah Urusan / Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic Bank Berhad, En. Aziz Peru daripada as-Salihin Trustee Berhad, En. Roshan Jaffar, Mr. Nova Lui, En. Usman Hamid daripada Amanah Raya Berhad dan En. Mubarak Johari daripada Takaful Malaysia.

Kepelbagaian latar belakang dan kepakaran para penceramah telah memberikan perspektif yang menyeluruh kepada peserta, khususnya mengenai aplikasi praktikal Pengurusan Kekayaan Islam dalam sektor perbankan, perancangan harta, amanah, takaful dan pengurusan kewangan.

Program ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan penyertaan dianggarkan antara 180 hingga 200 orang, terdiri daripada profesor, pensyarah kanan, pensyarah serta pelajar UUM dan Pusat Pengajian Perniagaan Islam, UUM. Kehadiran peserta daripada pelbagai peringkat akademik ini mencerminkan minat dan kesedaran yang semakin meningkat terhadap kepentingan Pengurusan Kekayaan Islam sebagai satu bidang ilmu dan amalan profesional yang mempunyai potensi besar untuk dikembangkan.

Secara keseluruhannya, program ini telah berlangsung dengan jayanya dan menerima maklum balas yang positif daripada para peserta. Perkongsian ilmu secara langsung daripada pengamal industri bukan sahaja memperkayakan pengalaman pembelajaran, malah membantu menghubungkan teori akademik dengan realiti serta cabaran sebenar dalam industri kewangan Islam.

Lebih membanggakan, Dato’ Adissadikin turut mencadangkan agar inisiatif ini diteruskan pada tahun hadapan sebagai satu program tahunan bagi memperkukuh lagi kerjasama strategik antara industri dan akademia. Cadangan tersebut mencerminkan keyakinan terhadap nilai tambah program ini serta potensi UUM untuk memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan ilmu dan kepakaran Pengurusan Kekayaan Islam di Malaysia.

Penganjuran program ini juga selari dengan aspirasi UUM untuk terus memperkukuh hubungan universiti dengan industri, meningkatkan kebolehpasaran graduan serta memastikan penawaran ilmu dan pendidikan tinggi sentiasa memenuhi keperluan semasa sektor profesional dan ekonomi.

Melalui platform seumpama ini, Pusat Pengajian Perniagaan Islam, UUM berhasrat untuk terus memperkukuh kedudukannya sebagai pusat rujukan akademik dalam bidang perniagaan dan kewangan Islam, di samping menyumbang kepada pembangunan ekosistem Pengurusan Kekayaan Islam yang lebih mampan dan berdaya saing.

Kejayaan penganjuran program ini merupakan satu langkah bermakna ke arah memperkukuh sinergi antara universiti dan industri, sekali gus membuka peluang kepada lebih banyak inisiatif kolaborasi strategik pada masa hadapan demi memartabatkan industri kewangan dan Pengurusan Kekayaan Islam di Malaysia.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button