UUM dan USAS ambil langkah proaktif tingkatkan mutu pendidikan bimbingan dan kaunseling
Berita dan gambar Dr. Muhammad Noor Abdul Aziz dan Siti Nur Ailin Sabri
KUALA KANGSAR, 4 Disember 2024: Dalam usaha memperkukuh kecemerlangan akademik dan membina jaringan kolaborasi yang bermakna, Pusat Pengajian Pendidikan (SoE), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan lawatan ke Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Kuala Kangsar, Perak.
Dekan SoE, Prof. Madya Dr. Mohamad Khairi Othman berkata, lawatan ini mencerminkan komitmen SoE untuk sentiasa mencari peluang penambahbaikan dan inovasi demi manfaat pelajar dan masyarakat.
Menurutnya, fokus utama lawatan ini adalah untuk meneroka model makmal kaunseling yang digunakan di USAS bagi memperkasa kemudahan makmal kaunseling di SoE.
“Perbincangan terperinci menyentuh aspek penggunaan peralatan canggih, pengurusan bilik kaunseling yang terdiri daripada empat bilik kaunseling individu dan dua bilik kaunseling berkelompok, serta sistem sokongan yang diterapkan.
“Setiap perincian ini bertujuan memastikan fasiliti kaunseling di SoE dapat memenuhi standard tertinggi dalam penyampaian pengajaran dan pembelajaran (PdP). Dengan langkah ini, SoE terus membuktikan komitmennya untuk melahirkan graduan yang kompeten, berwawasan, dan berdaya saing,” katanya.
Lebih daripada sekadar lawatan teknikal, inisiatif ini membawa harapan besar untuk menyediakan pelajar program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling) dengan pengalaman pembelajaran yang autentik dan relevan.
Kemudahan bertaraf industri ini dijangka memberikan kelebihan kepada pelajar, mempersiapkan mereka dengan kemahiran praktikal dan keyakinan untuk melangkah ke alam pekerjaan sebagai kaunselor profesional.
Lawatan ini juga menjadi simbol sinergi yang kukuh antara institusi pendidikan tinggi, menyuntik semangat baharu ke arah kolaborasi yang lebih luas pada masa hadapan.