UUM jadi pentas diskusi ESG sebagai teras korporat baharu
Gambar SOL
SINTOK, 6 November 2025: Pengerusi EXIM Bank Malaysia Berhad merangkap Pengerusi Kumpulan Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad, Dato’ Charon Wardini Mokhzani telah menyampaikan syarahan bertajuk “Resilient, Responsible, Relevant: ESG as the New Corporate DNA” dalam program CEO@Faculty Premier Talk 2025 di Dewan Seminar B, Kompleks Konvensyen Universiti Utara Malaysia (UUM).
Program yang dianjurkan oleh Pusat Pengajian Undang-Undang (SOL) dengan kerjasama Persatuan Sarjana Muda Falsafah, Undang-undang dan Perniagaan (BPLB) ini menghimpunkan pelajar dan warga akademik bagi mendalami konsep Environmental, Social and Governance (ESG) sebagai tunjang baharu dalam amalan korporat masa kini.

Ceramah tersebut memberi penekanan terhadap kepentingan agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus yang kini telah beralih daripada inisiatif sukarela kepada komitmen mandatori dalam sektor kewangan global.
Dato’ Charon dalam ucapannya menekankan bahawa institusi perbankan dan kewangan tidak sekadar menumpukan aspek keuntungan tetapi turut memberikan penekanan kepada kelestarian alam sekitar, tanggungjawab sosial serta tadbir urus dan integriti.
Dalam program tersebut, beliau menegaskan bahawa agenda ESG bukan lagi pilihan, tetapi keperluan untuk kekal relevan dalam landskap ekonomi global.
Beliau turut menjelaskan bahawa pelabur global kini memberi keutamaan kepada syarikat yang menunjukkan komitmen jelas terhadap tanggungjawab sosial dan alam sekitar.

Pelajar, Muhammad Farid Misran berkata, “Saya amat terinspirasi dengan inisiatif EXIM Bank Berhad khususnya kejayaan projek Biochar di Kinabatangan, Sabah. Projek ini bukan sahaja berjaya mengurangkan pelepasan karbon ladang sebanyak hampir 60 peratus, malah membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil tempatan melalui amalan pertanian regeneratif.
“Ia membuktikan bahawa kelestarian bukan sekadar dasar korporat, tetapi satu pendekatan nyata yang memberi manfaat sosial, ekonomi dan alam sekitar secara serentak. Syarahan Dato’ Charon benar-benar membuka mata kami tentang bagaimana institusi perbankan dan kewangan dapat memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan yang lebih lestari dan inklusif”.
Program CEO@Faculty Premier Talk 2025 ini bukan sahaja memperkukuh hubungan antara dunia akademik dan industri, tetapi juga memperkaya pemahaman warga universiti terhadap tanggungjawab korporat dalam konteks kelestarian global.

Melalui perkongsian pengalaman sebenar daripada tokoh korporat ternama seperti Dato’ Charon, pelajar dan pensyarah mendapat pencerahan tentang bagaimana prinsip Environmental, Social and Governance (ESG) boleh diterapkan sebagai teras dalam setiap keputusan perniagaan.
Inisiatif ini selaras dengan aspirasi UUM untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja berpengetahuan, tetapi juga beretika, berwawasan dan bersedia memimpin perubahan ke arah pembangunan mampan negara. – Dr. Muhammad Hafiz Badarulzaman



