UUM juara Grand Finale Proton Business Case Study Challenge, bawa pulang RM8,000
Gambar Dr. Fikriyah Abdullah
PUTRAJAYA, 16 Disember 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) sekali lagi membuktikan kecemerlangan pelajarnya apabila dinobatkan sebagai juara Grand Finale Proton Business Case Study Challenge, sekali gus membawa pulang wang tunai berjumlah RM8,000.
Majlis grand finale yang berlangsung di Putrajaya pada 13 Disember lalu menyaksikan kejayaan membanggakan pasukan UUM selepas mereka terlebih dahulu muncul sebagai johan Proton Business Case Study Challenge Wilayah Utara yang diadakan pada 19 November di Kompleks Konvensyen, UUM, seterusnya melayakkan mereka ke peringkat akhir pertandingan berprestij tersebut.

Pasukan UUM yang dikenali sebagai Winners of Limitless Creativity mempertaruhkan idea dan strategi perniagaan melalui tajuk kajian kes “Roots & Reach: Anchoring Malaysia, Grasping ASEAN”, yang menekankan keupayaan pemikiran strategik serta kebolehan menterjemah peluang pasaran tempatan dan serantau dalam konteks industri automotif.
Pasukan ini dianggotai oleh empat pelajar berbakat merangkumi pelbagai latar belakang akademik di mana dua ahli pasukan, Cheah Ka Ying dan Wong Jing Rhu merupakan pelajar dari Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), manakala dua lagi ahli pasukan iaitu Ooi Xin Rhu dan Lee Teng Fang adalah pelajar dari Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS).
Cheah Ka Ying merakamkankan rasa bangga atas kejayaan tersebut dan bertertima kasih kepada semua yang telah memberikan sokongan kepadanya dan juga ahli pasukan lain.

Grand Finale Proton Business Case Study Challenge ini menghimpunkan pasukan terbaik dari seluruh negara dengan penyertaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mewakili Wilayah Selatan, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bagi Wilayah Sarawak, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dari Wilayah Pantai Timur serta Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam mewakili Wilayah Tengah.
Hadiah kemenangan telah disampaikan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dato’ Ir. Abdul Rashid Musa kepada pasukan Winners of Limitless Creativity sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan idea, pembentangan dan penyelesaian kes yang diketengahkan.
Sementara itu, Pengarah Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG), Dr. Fikriyah Abdullah merangkap penasihat pasukan berkata, kejayaan ini mencerminkan kesungguhan, disiplin serta keupayaan pelajar UUM dalam mengaplikasikan ilmu teori ke dalam situasi sebenar industri.
Menurutnya, pendedahan berterusan kepada pembelajaran berasaskan industri seperti Proton Business Case Study Challenge mampu melahirkan graduan yang berfikiran kritis, kreatif dan bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan.

“Kejayaan ini diharap dapat menjadi pemangkin semangat kepada pelajar lain untuk terus mencabar diri dan menyertai lebih banyak pertandingan berimpak tinggi pada masa hadapan,” katanya.
Pasukan ini turut dibimbing oleh seorang lagi penasihat iaitu Pensyarah SQS, Dr. Saadi Ahmad Kamaruddin yang banyak membantu dalam Proton Business Case Study Challenge ini.
Dr. Saadi turut menzahirkan rasa bangga terhadap komitmen dan kerjasama erat pasukan Winners of Limitless Creativity sepanjang persiapan pertandingan.
Kejayaan menjuarai pertandingan di peringkat wilayah dan seterusnya merangkul gelaran juara Grand Finale ini membuktikan keupayaan pelajar UUM untuk bersaing di peringkat kebangsaan, sekali gus mengangkat reputasi university sebagai institusi yang komited dalam melahirkan graduan holistik, berdaya saing dan relevan dengan keperluan industri.
Turut hadir, Ketua Pegawai Sumber Manusia PROTON, Dr. Kasuma Satria Mat Jadi yang merupakan Alumni UUM. – Anis Zulaikha Kamal



