UUM meterai LOI dengan lima IPTS Indonesia
Berita dan gambar Dr. Azahar Kasim
PADANG, 8 September 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) menandatangani Surat Hasrat (LOI) dengan lima institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di Sumatera Barat, Indonesia dalam rangka menambah jaringan kerjasama universiti di bawah Asosiasi Pengurusan Tinggi Swasta Indonesia (APTISI).
IPTS tersebut adalah Universitas Bung Hatta, Universitas Prima Nusantara, Universitas Baiturrahmah, Universitas Putra Indonesia dan Universitas PGRI Sumatera Barat.
Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, kelompok universiti di bawah APTISI Sumatera Barat akan bekerjasama dengan UUM dalam pelbagai bidang akademik demi kelansungan percapaian peringkat antarabangsa secara kolektif
Katanya, kerjasama ini merupakan langkah strategis dan wujud komitmen bersama dalam mendorong kemajuan di bidang penyelidikan, pertukaran pelajar dan pensyarah, pengabdian masyarakat, meneroka peluang pensyarah penguruan tinggi swasta untuk menyambung pengajian peringkat sarjana dan PhD di UUM serta kerjasama lain yang bermanafaat kedua-dua institusi.
“Kami yakin bahawa sinergi antara UUM dan universitas di bawah APTISI akan memberikan manfaat yang besar, tidak hanya bagi kedua belah pihak, tetapi juga bagi masyarakat luas,” katanya ketika berucap di Majlis Menandatangani Surat Hasrat (LOI) di Universitas Bung Hatta, Padang, Indonesia.
Teks ucapan beliau dibaca oleh Dekan Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), Prof. Madya Dr. Shuhymee Ahmad yang mewakili Naib Canselor UUM.
Menurutnya, UUM berharap kerja sama ini dapat terus berkembang, saling memperkuat, dan menghasilkan dampak positif yang nyata.
“Semoga apa yang kita mulai hari ini menjadi kolaborasi yang berpanjangan dan produktif,” katanya.
Dr. Foad berkata, UUM sangat komited dalam memacu Dasar Pengantarabangsaan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), yang bertujuan menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi bertaraf global.
Menurutnya, seiring dengan matlamat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2023-2030 (Pendidikan Tinggi), UUM terus aktif menarik minat pelajar antarabangsa dan memantapkan kedudukan sebagai pusat kecemerlangan serantau.
Beliau berkata, kehadiran pelajar antarabangsa bukan sahaja memperkaya suasana pembelajaran tetapi juga mencerminkan keyakinan global terhadap sistem pendidikan tinggi negara.
“Untuk merealisasikan aspirasi ini, UUM sudah lama bekerjasama dengan APTISI Pusat untuk membentuk kerjasama strategik dalam pelbagai bentuk termasuk melantik APTISI sebagai agen pengambilan pelajar bagi peringkat sarjana dan doktor falsafah di bawah pengendalian mereka.
“APTISi juga sudah mempunyai Memorandum Persefahaman (MOU) dengan UUM, sejak sekian lama dan terbaru pada 25 Jun lalu di mana UUM telah menandatangani LOI dengan 10 institusi pengajian tinggi dengan kerjasama APTISI Sumatera Utara,” katanya.
Delegasi UUM juga mengadakan perbincangan dan promosi dengan beberapa universiti lain di Padang termasuk Universitas Negeri Padang yang memfokuskan penawaran program akademik peringkat ijazah sarjana dan sarjana.
Turut hadir, Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa), Pusat Pengajian Pendidikan, Prof. Madya Dr. Mua’azam Mohamad; Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan, Prof. Dr Hasnizam Shaari dan Pengerusi Program Pascasiswazah Luar Kampus/Pesisir, Pusat Pengajian Pendidikan, Dr. Muhd Zulhilmi Haron.