Education

UUM perkasa Program STEM bersama OIB Group menerusi Satu Pondok, Seribu Ilmu

Gambar Nurul Ain Najwa Mohamad Jamil

SUNGAI PETANI, 1 September 2025: Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah melaksanakan program University Social Responsibility (USR) bertajuk STEMBINA @ SKSP dengan kerjasama OIB Group, rakan kolaborasi Pusat Pengujian, Pengukuran dan Penilaian (CeTMA), bersama Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Pasir bertemakan “Satu Pondok, Seribu Ilmu”.

Program ini melibatkan 100 murid Tahun 6 SKSP melalui pelbagai aktiviti berteraskan pendidikan STEM.

Pengarah program, Prof. Madya Dr. Nerda Zura Zaibidi yang juga Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, SQS, berkata, inisiatif ini bukan sahaja memberi pengalaman pembelajaran interaktif, malah menyokong agenda pembangunan mampan dalam pendidikan.

Kemuncak program adalah pelancaran Pondok STEM yang ditaja oleh OIB Group. Pondok ini akan berfungsi sebagai pusat rujukan dan pembelajaran jangka panjang, sekali gus memastikan akses berterusan kepada ilmu STEM untuk generasi pelajar akan datang.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif OIB Group, Kok Shen Low berkata, inisiatif ini mencerminkan komitmen terhadap SDG 4 (Quality Education) dengan menyediakan ruang pembelajaran inklusif, SDG 9 (Industry, Innovation & Infrastructure) melalui kemudahan inovatif, dan SDG 17 (Partnerships for the Goals) melalui kolaborasi antara universiti, industri, dan sekolah.

Selain itu, penglibatan enam staf SQS, 10 guru SKSP dan 30 staf OIB yang hadir sebagai sukarelawan turut menjayakan aktiviti bersama pelajar dengan bertindak sebagai fasilitator dan juri dalam pelbagai aktiviti STEM yang dijalankan.

Kehadiran mereka sebagai rakan kolaborasi CeTMA bersama dua wakil CeTMA menggambarkan model kerjasama yang mampan antara pelbagai pihak.

Dengan wujudnya Pondok STEM, komuniti sekolah dijangka dapat terus memanfaatkannya bagi pelbagai program ilmu dan aktiviti kokurikulum, menjadikan ia satu pelaburan sosial yang berimpak tinggi serta berdaya tahan untuk masa depan.

Turut serta, Guru Besar SKSP, Fadhli Dato’ Arfanuddin. – Tengku Nurul Aimi Balqis Tengku Malim Busu

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button