Education

UUM promosikan peluang pengajian kepada pelajar tahun akhir di Thailand

THAILAND, 27 Februari 2025: Program Study@UUM Schools Tour membuka lebih banyak peluang kepada pelajar Thailand untuk memilih Universiti Utara Malaysia (UUM) sebagai destinasi utama untuk melanjutkan pengajian tinggi.

Pengarah Bahagian Pemasaran (Akademik) UUM, Prof Madya Dr Ahmad Hisham Zainal Abidin berkata, program ini merupakan satu inisiatif strategik untuk memperkenalkan UUM kepada pelajar Thailand, khususnya yang berada di tahun akhir, sekali gus mengukuhkan lagi hubungan pendidikan antara Malaysia dan Thailand.

“Tujuan utama program ini adalah untuk memberi pendedahan kepada pelajar-pelajar tahun akhir di Thailand mengenai peluang pendidikan yang ditawarkan oleh UUM.

“Kami ingin membuka lebih banyak ruang bagi mereka untuk melanjutkan pengajian ke peringkat universiti, sambil memperkukuhkan lagi hubungan dua hala dalam bidang pendidikan,” jelasnya.

Delegasi UUM yang turut serta dalam program ini melibatkan Dekan Pusat Pengajian Pelancongan, Hospitaliti dan Pengurusan Acara (STHEM) serta wakil dari TISSA UUM.

Sepanjang program, delegasi UUM berpeluang mengunjungi beberapa bandar utama di Thailand seperti Bangkok, Phuket, Krabi, Songkhla, dan Hatyai untuk bertemu secara langsung dengan pelajar-pelajar di sekolah-sekolah terkemuka di sana.

“Di sini, kami dapat berinteraksi secara dekat dengan pelajar-pelajar dan berkongsi maklumat mengenai program pengajian yang ditawarkan, kehidupan kampus yang menarik, serta peluang-peluang yang boleh diraih oleh pelajar antarabangsa di UUM,” tambahnya.

Selain itu, delegasi UUM turut mengadakan kunjungan hormat ke beberapa universiti ternama di Thailand, termasuk Mahidol University di Bangkok, Prince of Songkhla University di Phuket, Thaksin University di Songkhla, dan Hatyai Business School di Hatyai.

“Kunjungan ini bertujuan untuk memperkukuhkan lagi hubungan baik antara UUM dan universiti-universiti di Thailand, selain membuka peluang untuk menjalin kerjasama dalam bidang pendidikan dan penyelidikan,” katanya.

Program ini memberikan peluang kepada pelajar Thailand untuk lebih memahami tentang UUM, yang dikenali dengan kecemerlangan akademik dan kemudahan kampus yang lengkap. Ia juga memberi mereka gambaran yang lebih jelas tentang kehidupan sebagai pelajar antarabangsa di Malaysia, serta pelbagai peluang yang menanti mereka di UUM.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button