UUM raih kejayaan berganda di Anugerah KKP Negara 2023
SINTOK, 13 November 2024 – Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) memenangi Anugerah Ketua Pegawai Ekesekutif Sektor Awam (CEO Awam) dalam Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) Negara yang diumumkan semalam.
Kegembiraan berganda apabila Universiti Utara Malaysia (UUM) turut meraih Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) Negara 2023 Kategori IPT di Kuala Lumpur.
Dr. Mohd Foad bersyukur dengan kejayaan yang dikecapi dan menyifatkannya sebagai satu pencapaian memberangsangkan bagi universiti yang melakar kecemerlangan dalam aspek pengurusan KKP.
“Kemenangan dalam penyertaan kali ini sejajar dengan sambutan ulang tahun UUM yang ke-40 penubuhannya yang sebelum ini dinobatkan sebagai Universiti No.1 di Malaysia berdasarkan penarafan oleh Times Higher Education (THE) Young University Rankings 2024.
“Keselamatan dan kesihatan pekerjaan adalah asas kepada semua operasi justeru UUM telah meletakkan usaha kolektif dalam memperkasa hal ehwal berkaitan dengan KKP,” ujarnya.
Menurutnya komitmen ini diterjemahkan melalui latihan yang menyeluruh, dasar yang komprehensif, dan pendekatan proaktif terhadap kesejahteraan dan keselamatan warga UUM.
Dalam pada itu beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada semua yang telah terlibat dalam membantu UUM untuk memenangi anugerah ini.
Beliau berharap dengan pencapaian ini warga UUM terus berusaha menjadikan Universiti lebih cemerlang dalam pengurusan KKP peringkat domestik dan antarabangsa.
Anugerah disampaikan oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong kepada Ahli Lembaga Pengarah UUM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Risiko LPU UUM Zambri Mat yang mewakili universiti.
Hadir sama, Pengarah Bahagian Pengurusan Risiko, Shahrul Nizam Ahmad, Timbalan Pengarah, Ts. Dr. Syazwan Syah Zulkifly serta pegawai UUMKL dan pegawai-pegawai Bahagian Pengurusan Risiko UUM