Education

UUM santuni Komuniti FELDA Sungai Tiang melalui Program SULAM “Apa Khabaq, Warga Pendang: Kita Jaga Kita”

Berita dan gambar Dr. Mohd Ahsani A.Malek

PENDANG, 22 Disember 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuhkan peranan sebagai universiti berteraskan masyarakat apabila seramai 43 pelajar Kursus SSKCK3733 Kaunseling Komuniti melaksanakan Program SULAM “Apa Khabaq, Warga Pendang: Kita Jaga Kita” di FELDA Sungai Tiang, Pendang.

Program yang berlangsung selama tiga hari dua malam bermula 11 hingga 13 Disember ini dianjurkan oleh pelajar Kaunseling Komuniti di bawah seliaan Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP) dengan penglibatan aktif komuniti setempat.

Program ini merupakan penutup kepada penyelidikan bertajuk Profil Kecenderungan Penyalahgunaan Bahan Dalam Kalangan Komuniti di Daerah Pendang yang dijalankan oleh sekumpulan penyelidik daripada SAPSP dengan kerjasama Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), selain memenuhi keperluan pembelajaran berasaskan khidmat komuniti (SULAM) Universiti Utara Malaysia.

Penasihat Program, Dr. Mohd Ahsani A.Malek berkata, pelaksanaan program ini memberi peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan ilmu kaunseling komuniti secara praktikal melalui pendekatan pencegahan, pemulihan awal dan intervensi psikososial bersama masyarakat.

Antara pengisian utama program termasuk saringan psikososial dan konsultasi, ceramah Realiti Dadah di Pendang, bengkel Kemahiran Mengurus Remaja Berisiko, aktiviti Jejak Komuniti, sukaneka, serta forum bertajuk Membina Semula Hidup: Peranan Keluarga dan Masyarakat dalam Pemulihan Bekas Prospek.

Program ini turut melibatkan kerjasama strategik dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kedah, MCPF, pihak FELDA Sungai Tiang, kepimpinan kampung serta keluarga angkat yang membuka ruang interaksi bermakna antara pelajar dan komuniti.

“Melalui pendekatan “Kita Jaga Kita”, program ini bukan sahaja bertujuan menyantuni masyarakat, malah memperkukuhkan hubungan universiti dan komuniti serta menyumbang kepada usaha meningkatkan kesejahteraan sosial dan pencegahan isu penyalahgunaan bahan dalam kalangan penduduk setempat,” katanya.

Majlis perasmian penutupan program disempurnakan oleh Pengerusi Pencegahan dan Pemulihan Jenayah Berkaitan Dadah, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Datuk Kamarudin Md Ali.

Turut hadir, Dekan Hal Ehwal Pelajar UUM, Prof. Madya Dr. Zainudin Omar, wakil MCPF negeri Kedah, FELDA Sungai Tiang dan wakil AADK daerah Pendang. Program ini dimeriahkan lagi dengan pameran oleh pihak Jabatan Penjara Malaysia.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button