Education

UUM teraju inovasi STEM menerusi Program SMART GEN-Z Alpha AQUAPONICS

Gambar Prof. Madya Dr Rahela Abd Rahim

JITRA, 22 Februari 2026: Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkasakan agenda Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) melalui pelaksanaan program STEM SMART GEN-Z Alpha AQUAPONICS di bawah inisiatif STI 100³ Kitaran 2.

Kolaborasi Strategik Berimpak Tinggi Inisiatif ini merupakan hasil kerjasama strategik antara Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama Kumpulan Penyelidikan Computational Statistics and Applied Mathematics (CSAM) dari SQS, UUM.

Pasukan ini diketuai oleh Prof. Madya Dr. Nor Intan Saniah Sulaiman dan dibantu oleh barisan saintis berpengalaman iaitu Rohaiza Zakaria, Prof. Madya Dr. Rahela Abdul Rahim, dan Prof. Madya Dr. Samsul Ariffin Abdul Karim.

Dr. Nor Intan berkata, program ini melibatkan seramai 86 pelajar Tahun 5 dari Sekolah Rendah Al-Azhar yang bertujuan mendedahkan generasi muda kepada konsep ekosistem air dan sains hayat secara praktikal menerusi aktiviti Eco-Detective Quest: Rahsia Air & Ikan.

Menurutnya, menerusi modul Upgrade Smart Aquaponik, murid didedahkan secara langsung kepada komponen teknikal sistem akuaponik termasuk fungsi pam, sistem pengaliran air, dan penapisan biologikal.

“Mereka juga turut berpeluang melakukan pemerhatian reflektif terhadap prototaip akuaponik serta membangunkan model sendiri berdasarkan pemahaman ekologi yang dipelajari,” katanya.

Dr. Samsul Ariffin berkata, sesi refleksi menunjukkan impak positif yang signifikan terhadap tahap kognitif pelajar.

Menurutnya, kesungguhan dan rasa ingin tahu yang ditunjukkan oleh murid ini membuktikan bahawa kaedah pembelajaran interaktif seperti sistem akuaponik ini mampu mencetuskan minat mendalam terhadap bidang sains berbanding pembelajaran teori semata-mata.

Dalam pada itu, Guru Rekabentuk dan Teknologi (RBT), Cikgu Syakir menzahirkan penghargaan atas komitmen UUM dan MOSTI dalam membawa pengalaman pembelajaran yang kontekstual ke peringkat sekolah rendah.

Beliau menyifatkan program ini sebagai platform terbaik dalam menanam asas pemikiran kritis dan reka bentuk saintifik dalam kalangan generasi Alpha.

Kejayaan program ini mencerminkan peranan UUM bukan sahaja sebagai menara gading, malah sebagai penggerak utama dalam melestarikan budaya STEM di peringkat komuniti setempat demi pembangunan modal insan masa hadapan. – Prof. Madya Dr Nor Intan Saniah Sulaiman

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button