UUM teroka peluang kerjasama dalam pendidikan digital dan teknologi metaverse
Gambar CUIC
PETALING JAYA, 7 Mei 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memacu usaha transformasi pendidikan berasaskan teknologi digital menerusi sesi perbincangan strategik bersama syarikat telekomunikasi terkemuka, CelcomDigi, yang berlangsung di Menara CelcomDigi, baru-baru ini.
Lawatan kerja ke Celcomdigi diketuai oleh Pengarah Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC), Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam dan delegasi disambut Venture Architecture, Senior Specialist (Metaverse/Web 3.0), Devtar Singh; Specialist Metaverse & Web 3.0, Tan Jing Jiao; Head of Change Management and Employer Brand, Stephanie Leong Yun Mun, dan Specialist CSR (Sustainability), Allina Ayof.
Dr. Chandrakantan berkata, perbincangan tertumpu kepada cadangan kerjasama jangka panjang merangkumi pelaksanaan kuliah digital melalui platform Metaversity yang menyokong pembelajaran maya secara.
Menurutnya, CelcomDigi turut mencadangkan pelaksanaan program pensijilan profesional untuk pelajar dan pensyarah sebagai inisiatif memperkukuh kebolehpasaran graduan dalam bidang teknologi masa kini.
Selain itu, perbincangan turut menyentuh aspek pembangunan bakat mahasiswa melalui penyediaan peluang latihan industri bersama CelcomDigi, selaras dengan keperluan industri sebenar.
“Antara inisiatif menarik yang diketengahkan oleh UUM ialah penglibatan CelcomDigi dalam program School of Hard Knocks (SoHK), iaitu sebuah program pembangunan insaniah dan daya tahan yang mendedahkan pelajar agar lebih bersedia untuk menempuh alam pekerjaan yang bersesuaian dengan perkembangan industri hari ini,” katanya.
Sebagai langkah susulan, kedua-dua pihak akan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi mengukuhkan komitmen kerjasama strategik dalam bidang pendidikan maya, pembangunan bakat, penyelidikan, dan tanggungjawab sosial korporat.
Turut serta, Timbalan Pengarah CUIC, Prof. Madya Dr. Normalisa Md Isa, dan Penyelaras Latihan Industri CAS, Dr. Nuramalina Mohamad Na’in.- Siti Nazirah Jaya