UUM unggul dalam Aspire Race sempena Graduan Aspire Career Fair
Berita dan gambar Nur Atirah Alia Zainal Abidin
KUALA LUMPUR, 12 Jun 2025: Graduan Aspire Career Fair 2025 yang telah berlangsung selama dua hari pada 31 Mei hingga 1 Jun lalu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) berjaya menarik ribuan pengunjung, khususnya dalam kalangan pelajar universiti dan graduan dari seluruh negara.
Pegawai pengiring, Syazani Marzuki berkata, acara tahunan anjuran GRADUAN ini bukan sahaja berfungsi sebagai platform pertemuan antara pencari kerja muda dan syarikat terkemuka, malah turut menampilkan pelbagai aktiviti interaktif dan sesi perkongsian ilmu yang bermanfaat.
Salah satu acara kemuncak yang mencuri perhatian pada hari kedua ialah Aspire Race, pertandingan berkonsepkan cabaran interaktif yang menguji ketangkasan, kerjasama dan daya saing peserta.
Universiti Utara Malaysia (UUM) telah muncul sebagai juara apabila kedua-dua pasukan yang dihantar berjaya merangkul tempat pertama dan kedua, mengatasi pasukan lain dari pelbagai institusi pengajian tinggi.
Kejayaan ini sekali gus membuktikan keupayaan intelektual dan semangat berpasukan pelajar UUM dalam menyesuaikan diri dengan pelbagai bentuk cabaran secara kreatif dan strategik.
Tempat pertama dimenangi oleh Nur Laila Airin Tan Mohd Ridzuan Tan dari Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) dan Nur Atirah Alia Zainal Abidin dari Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi, manakala tempat kedua dimenangi Ang Yan Wei dari Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan serta Saidatul Izwa Ahlbdul Halim dari SBM.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GRADUAN, Nabil Marie, yang turut memuji komitmen tinggi dan semangat kompetitif yang ditunjukkan oleh peserta.
Dengan pelbagai peluang kerjaya dan aktiviti menarik, Graduan Aspire Career Fair terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara acara kerjaya terbesar dan paling berprestij di Malaysia.