UUMKL terus jadi pilihan profesional: 163 pelajar pascasiswazah daftar sesi Mac 2026
Berita dan gambar oleh Hisaruddin Ahmat
KUALA LUMPUR, 8 Mac 2026: Universiti Utara Malaysia Kampus Kuala Lumpur (UUMKL) menerima kemasukan seramai 163 pelajar baharu pascasiswazah bagi sesi akademik Mac 2026 (DC252) yang mengikuti pengajian di peringkat sarjana.
Sesi taklimat pendaftaran telah diadakan secara atas hibrid melibatkan semua pelajar tersebut termasuk 38 orang pelajar hadir secara fizikal dan termasuk 17 orang pelajar antarabangsa daripada Sudan, Ghana, Maldives, Pakistan, China, Nigeria, Indonesia, Bangladesh, dan Somalia.

Provos UUMKL, Prof. Dr. Norlena Hasnan, dalam ucapan beliau berkata keputusan untuk melanjutkan pengajian di peringkat pascasiswazah terutamanya dikalangan golongan profesional merupakan langkah penting dalam memperkukuh pembangunan diri serta meningkatkan prospek kerjaya.
“UUMKL komited menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif serta menyokong pembangunan akademik pelajar agar mereka dapat mencapai kecemerlangan dalam bidang masing-masing,” katanya ketika berucap dalam sesi taklimat pelajar baharu.
Program kemudian diteruskan dengan sesi taklimat akademik yang disampaikan oleh Dekan Akademik UUMKL, Prof. Madya Dr. Nik Adzrieman Abd Rahman, dan pada sebelah petang diteruskan bersama barisan pengerusi program dari pusat pengajian masing-masing.
Kemasukan pelajar baharu ini mencerminkan komitmen berterusan UUMKL dalam menyediakan akses pendidikan tinggi yang fleksibel kepada golongan profesional di ibu kota.



