Education

Wakil BGS UUM Chapter Berkongsi Dana Honor Roll USD1,000 susulan pengiktirafan “Highest Honor Chapter” 2024/2025

Berita dan gambar Cheah Xiao Tung

SINTOK, 13 Julai 2026: Kejayaan Beta Gamma Sigma (BGS) UUM Chapter meraih pengiktirafan Highest Honor Chapter bagi sesi akademik 2024/2025 terus membuahkan hasil apabila dua wakilnya turut menerima Honor Roll Scholarship Program Funds bagi sesi 2025/2026 yang ditaja sepenuhnya oleh Beta Gamma Sigma Headquarters (BGS HQ).

Dua penerima tersebut merupakan barisan kepimpinan BGS Kohort 8 iaitu Presiden Kelab, Lim Qing Jun dan Eksekutif Akademik dan Latihan, Nisa Badrina Mohd Nasir. Kedua-dua penerima dipilih berdasarkan sumbangan aktif, komitmen serta kecemerlangan mereka dalam menjayakan pelbagai inisiatif dan program sepanjang sesi tersebut.

Lim Qing Jun berkata, dia bersyukur dan berbesar hati menerima dana ini dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Dr. Nor Atikah Shafai, barisan BGS Management Team 2024/2025, Pejabat Penolong Naib Canselor UUM COB, serta pihak Hal Ehwal Pelajar atas sokongan berterusan dalam menjayakan setiap program dan inisiatif BGS.

“Saya sangat menghargai peluang ini dan berharap dapat memanfaatkan dana yang diterima untuk meningkatkan kemahiran diri serta terus memberi impak kepada universiti dan komuniti,” katanya.

Sementara itu, Nisa Badrina menyatakan bahawa penerimaan dana ini membawa makna yang besar buat dirinya.

“Menerima Dana Program Biasiswa BGS Honour Roll merupakan satu penghormatan dan pengiktirafan yang amat saya hargai.

“Saya bercadang untuk memanfaatkan dana ini bagi pembelajaran berterusan dan pengalaman yang bermakna, didorong oleh keyakinan bahawa perkembangan diri menjadi paling bernilai apabila manfaatnya turut melangkaui diri sendiri,” katanya.

Penganugerahan ini bukan sahaja mencerminkan kecemerlangan individu, malah turut melambangkan kekuatan budaya kepimpinan dan kolaborasi dalam BGS UUM Chapter.

Diharapkan kejayaan ini akan terus menjadi inspirasi kepada lebih ramai pelajar untuk mencapai kecemerlangan serta menyumbang kembali kepada masyarakat.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button