Featured News

Dari Baling ke Babylon: Menjulang ilmu, mengakar adab sebagai fondasi peradaban

Berita dan gambar Dr. Mohd Aliff Mohd Nawi

Tidak pernah terlintas dalam fikiran saya bahawa suatu hari nanti, perjalanan penyelidikan yang bermula di sebuah daerah sunyi di Baling, Kedah akhirnya membawa saya menjejakkan kaki ke salah satu lokasi yang sering disebut sebagai keajaiban dunia purba iaitu Babylon, sebuah tanah yang sarat dengan sejarah tamadun manusia.

Namun, antara Baling dan Babylon, wujud satu hubungan halus iaitu pendidikan yang menjulang ilmu dan mengakar adab, berasaskan wahyu sebagai asas pembinaan peradaban manusia.

Beberapa tahun lalu, saya terlibat secara langsung sebagai ketua penyelidik dalam pelaksanaan Program MyTadarus di Kedah, sebuah projek penyelidikan yang bertujuan membasmi keciciran Al-Quran dalam kalangan murid di pedalaman. Program ini dilaksanakan di dua buah sekolah di Baling dengan penglibatan seramai 119 murid yang dikenal pasti memerlukan bimbingan intensif dalam bacaan al-Quran.

Pendekatan yang digunakan ialah talaqqi musyafahah dan halaqah, bersifat sangat peribadi dan personalized learning iaitu 1 Murid, 1 Mentor. Ketika itu, seramai 119 mentor yang merupakan guru pelatih Pendidikan Islam (pelajar PGDE, Pusat Pengajian Pendidikan, Universiti Utara Malaysia) terlibat secara langsung membimbing murid-murid ini. Mereka bukan hanya mengajar tajwid dan makhraj huruf tetapi berusaha memulihkan keyakinan murid untuk kembali mendekati al-Quran, sesuatu yang terhakis apabila murid terlalu lama berasa “tertinggal”, khususnya pascapandemik.

Bagi memastikan kualiti pelaksanaan, program ini turut dipantau oleh tiga pelajar Doktor Pendidikan (EdD) yang berperanan sebagai jurulatih dan pemerhati ekosistem pembelajaran. Pendekatan ini menjadikan MyTadarus bukan berfokus kepada bimbingan bacaan, tetapi sebuah model ekosistem pendidikan al-Quran yang menghubungkan murid, guru pelatih, penyelidik dan institusi secara serentak.

Saya dan penyelidik bersama bersyukur dan berterima kasih kepada Institut Penyelidikan dan Inovasi Zakat (IPIZ) UUM dan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) kerana membiayai projek penyelidikan ini.

Kini, sebagai seorang penyelidik pasca kedoktoran dalam bidang prophetic pedagogy, perjalanan ilmu ini membawa saya ke Iraq iaitu bumi yang suatu ketika dahulu dikenali sebagai Mesopotamia, pusat tamadun awal manusia. Di sinilah bertemunya ilmu, kuasa, falsafah dan konflik. Lebih daripada itu, bumi ini juga merupakan medan dakwah ramai nabi. Perjalanan ini juga dibuat atas nasihat hos saya, seorang profesor di University of Tübingen, Jerman, yang menggalakkan saya meneroka bumi para anbiya’ untuk memahami pendidikan sirah secara langsung, sebelum menyertai program Winter School di University of Sharjah di UAE pada awal Februari lalu.

Dalam catatan tradisi Islam, antara nabi yang dikaitkan dengan wilayah ini ialah Nabi Adam, Nabi Idris, Nabi Nuh, Nabi Saleh, Nabi Ibrahim, Nabi Lut, Nabi Ismail dan Nabi Yunus (selawat dan salam atas mereka semua). Turut disebut dalam riwayat dan tradisi sejarah Islam ialah beberapa nabi yang jarang kita dengar seperti Nabi Shith (anak Nabi Adam), Nabi Daniyal, Nabi Khidir, serta Nabi Nahum, yang dikaitkan dengan wilayah sekitar Mesopotamia dan Nineveh.

Berada di sana, saya tidak hanya melihat tinggalan sejarah, tetapi cuba menghayati satu hakikat besar iaitu tamadun sebesar mana pun akhirnya boleh runtuh apabila wahyu ilmu dan nilai adab tidak lagi menjadi teras pegangan kehidupan. Pedagogi dakwah yang digunakan para nabi tidak lari dari ilmu dan adab hatta berhadapan dengan Raja yang zalim seperti Fir’aun sekali pun, Allah tetap memerintahkan Nabi Musa AS untuk menyampaikan kata-kata dengan lunak dan bukan dengan kekasaran.

Di bumi Babylon, wahyu tauhid telah disampaikan oleh Nabi Ibrahim AS dengan penuh adab, namun ia ditolak oleh penguasa zamannya, Raja Namrud yang memilih kesombongan dan kekuasaan berbanding kebenaran. Penolakan terhadap wahyu inilah yang akhirnya menjadi antara sebab kejatuhan nilai, keruntuhan moral dan lenyapnya kegemilangan tamadun tersebut dalam lipatan sejarah. Babylon tidak runtuh kerana kekurangan teknologi atau kekuatan ketenteraan tetapi kerana terputusnya hubungan antara kuasa, ilmu dan adab.

Di situlah saya teringat kepada Baling, di mana halaqah-halaqah kecil di sekolah-sekolah pedalaman Kedah berperanan sebagai pemelihara wahyu dan adab secara berperingkat, melalui pembinaan bacaan al-Quran yang sistematik. Jika tamadun-tamadun purba runtuh kerana penolakan wahyu tetapi di Baling, fondasi peradaban masa depan sedang dibentuk secara berperingkat tetapi kukuh bermula dari murid ke murid, dari guru ke guru, dan daripada hati ke hati, mencerminkan kesinambungan pedagogi profetik dalam konteks kontemporari.

Tamadun tidak dibina di pentas besar, tetapi di halaqah kecil yang penuh ikhlas. Ia bermula dengan guru yang sabar, murid yang dibimbing, dan satu ekosistem pendidikan yang dipelihara dengan amanah, agar dapat  ‘menjulang ilmu dan mengakar adab’, seiring dengan misi pendidikan yang dibawa oleh para nabi sepanjang sejarah.

Kisah ini mengajar kita bahawa sebesar mana pun tamadun yang dibina, ia boleh runtuh apabila wahyu, ilmu, dan adab tidak dipelihara. Dari Baling ke Babylon, saya teringat bahawa setiap usaha kecil kita dalam pendidikan sama ada mengajar, menyelia, atau meneroka penyelidikan, ingatlah bahawa ianya perlu sentiasa berlandaskan ilmu dan adab. Ini kerana keduanya adalah fondasi utama dalam membina peradaban pada masa hadapan.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button