35 tahun menabur bakti, Pesara UUM terima Anugerah Bakti MAHEIS
Gambar Urusetia Pusat Islam UPSI
TANJUNG MALIM, 4 Ogos 2026: Dedikasi selama 35 tahun dalam perkhidmatan di Pusat Islam UUM mendapat penghargaan apabila pesara, Ahamad Zabadi Mokhtar telah dianugerahkan Anugerah Bakti MAHEIS dalam Majlis Makan Malam Sempena Mesyuarat Majlis Hal Ehwal Islam Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (MAHEIS) Bil. 2/2026, baru-baru ini.

Majlis yang berlangsung di Dewan Muallim Scholar Suites, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menjadi wadah penghargaan terhadap jasa dan sumbangan tokoh yang telah memberikan khidmat dalam pembangunan pengurusan hal ehwal Islam di institusi pengajian tinggi.
Ahamad Zabadi yang berkhidmat sebagai Pembantu Hal Ehwal Islam di UUM sebelum menamatkan perkhidmatan pada Julai 2026 telah mencurahkan khidmat bakti selama 35 tahun dalam menyokong pelaksanaan pengurusan dan aktiviti hal ehwal Islam di universiti.
Ahamad Zabadi berkata, pengiktirafan ini bukan sekadar penghargaan terhadap tempoh perkhidmatan, malah mencerminkan sumbangan dan komitmennya dalam memperkukuhkan pengurusan hal ehwal Islam serta pembangunan kerohanian warga universiti sepanjang tempoh perkhidmatan.
Sumbangan yang dicurahkan dalam pelbagai aspek pengurusan, pengimarahan dan pelaksanaan program keislaman menjadi sebahagian daripada perjalanan pembangunan ekosistem Islam di UUM, khususnya melalui peranan Pusat Islam dalam membentuk warga universiti yang seimbang dari aspek ilmu, sahsiah dan kerohanian.
Anugerah Bakti MAHEIS yang diterima itu turut menjadi simbol penghargaan rakan strategik dalam jaringan hal ehwal Islam IPT Malaysia terhadap jasa dan pengorbanan beliau sepanjang berada dalam perkhidmatan.

Majlis Makan Malam Sempena Mesyuarat MAHEIS Bil. 2/2026 yang menghimpunkan seluruh Pengarah Pusat Islam daripada institusi pengajian tinggi awam dan swasta itu turut memperlihatkan komitmen berterusan MAHEIS dalam memperkukuh pembangunan sahsiah dan keperibadian pelajar dalam mendepani cabaran zaman.
Pengiktirafan terhadap Ahamad Zabadi diharapkan menjadi inspirasi kepada warga UUM untuk terus memberikan khidmat terbaik dengan penuh amanah dan dedikasi, selain menjadi teladan bahawa sumbangan yang dicurahkan dengan ikhlas akan terus dikenang walaupun selepas berakhirnya tempoh perkhidmatan.
Hadir sama, Pengarah Pusat Islam UUM, Mohd Yusnaidi Md. Sabri. – Muhammad Kamil Yazid



