General

Alumni SLCP terbit kumpulan cerpen sempena PBAKL 2025

Gambar SLCP

SINTOK, 27 April 2025: Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia (UUM) sekali lagi mencipta kejayaan apabila salah seorang alumni program Ijazah Sarjana Muda Sastera Kesusasteraan Kontemporari dan Pengurusan Industri Kreatif (BCLCIM), Nurafrina Abdul Aziz, berjaya menerbitkan kumpulan cerpen berjudul Nekamesta bawah syarikat penerbitan Biblio Press.

Buku ini bakal dilancarkan sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025, yang akan berlangsung dari 23 Mei hingga 1 Jun 2025.

Kumpulan cerpen Nekamesta mengetengahkan pelbagai konflik dan pergolakan realiti manusia dalam dunia yang sentiasa berubah. Dalam karya ini, Nurafrina mengajak pembaca untuk merenung makna kehidupan, tanpa menawarkan penyelesaian mutlak, sebaliknya menghidangkan naratif-naratif kecil yang penuh emosi dan pencarian diri.

Dalam satu kenyataan, Nurafrina merakamkan penghargaan kepada pensyarah program BCLCIM yang banyak membimbingnya sepanjang pengajian.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pensyarah program BCLCIM. Ilmu, bimbingan, dan dorongan yang saya terima sepanjang pengajian sangat bermakna dan menjadi asas kepada penghasilan Nekamesta ini,” katanya.

sementara itu, Dekan SLCP, Prof. Madya Dr. Mohamad Khadafi Rofie turut mengucapkan tahniah kepada Nurafrina atas kejayaan tersebut.

“Kejayaan alumni seperti Nurafrina membuktikan bahawa program-program akademik di SLCP bukan sahaja berkesan dalam mendidik, malah mampu melahirkan generasi kreatif yang memberi sumbangan bermakna kepada dunia sastera dan budaya,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Program BCLCIM, Dr. Phat Awang Deng, menyatakan kegembiraannya melihat kejayaan ini sebagai cerminan kejayaan program BCLCIM dalam mencapai objektifnya.

Menurutnya, beliau berbangga menyaksikan alumni BCLCIM berjaya menerbitkan karya berkualiti. Ini membuktikan bahawa objektif program untuk melahirkan graduan yang berdaya saing dalam industri kreatif tercapai.

Penerbitan Nekamesta merupakan satu lagi bukti bahawa SLCP, UUM komited untuk terus melahirkan bakat baru dalam dunia kesusasteraan kontemporari Malaysia. – Dr. Mohamed Nazreen Shahul Hamid

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button