General

Kepimpinan berintegriti dan berjiwa besar angkat Mohamad Amar, Nadjween Hanie sebagai Tokoh Siswa dan Tokoh Siswi UUM 2026

Gambar Hairul Nizam Zahari dan FB TNC HEPA

ALOR SETAR, 27 Julai 2026: Kepimpinan berwibawa, kecemerlangan akademik serta komitmen tinggi terhadap pembangunan pelajar melayakkan Mohamad Amar Aidid Mohd. Zain dan Nadjween Hanie Mohd. Mayan dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Siswa dan Anugerah Tokoh Siswi Universiti Utara Malaysia (UUM) 2026 pada Majlis Anugerah Tokoh Siswa 2026 yang berlangsung dengan penuh gilang-gemilang di Hotel Raia, malam tadi.

Penerima Anugerah Tokoh Siswa 2026, Mohamad Amar Aidid Mohd. Zain dari Pusat Pengajian Kerajaan melahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT atas pengiktirafan yang diterimanya.

Menurut beliau, Anugerah Tokoh Siswa bukan sekadar miliknya, sebaliknya merupakan hasil usaha, doa dan sokongan daripada ramai insan yang sentiasa berada di belakang perjalanan kepimpinannya.

“Pertama sekali, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada arwah ayah saya, Mohd. Zain Noor dan insan paling hebat, ibu saya, Aslina Md. Nor, serta seluruh ahli keluarga yang tidak pernah putus mendoakan dan memberikan kekuatan sepanjang perjalanan ini. Doa dan pengorbanan mereka menjadi sumber inspirasi terbesar buat saya.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh pasukan Majlis Perwakilan Pelajar UUM Sesi 2024/2025. Sepanjang tempoh berkhidmat, setiap kejayaan yang dicapai adalah hasil kerja berpasukan, komitmen dan pengorbanan mereka. Tanpa mereka, saya tidak mungkin berdiri di sini menerima penghormatan ini,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) dan Pusat Kecemerlangan dan Kepimpinan Pelajar (SELECT UUM), khususnya Dekan Hal Ehwal Pelajar, Dr. Mazli Mutazam; Pengurus SELECT, Mohd. Farhan Ismail; serta Penasihat Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Muhammad Danial Khaleq Mohd. Ali yang banyak membimbing, menasihati dan membantu membentuk hala tuju kepimpinannya sepanjang berkhidmat.

“Saya juga merakamkan penghargaan kepada pengurusan tertinggi Universiti Utara Malaysia yang sentiasa memberikan kepercayaan dan ruang kepada pelajar untuk memimpin serta merealisasikan pelbagai agenda pemerkasaan pelajar. Kepercayaan yang diberikan menjadi pemangkin kepada kami untuk terus menyumbang kepada universiti dan masyarakat.

“Akhir sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakan-rakan pelajar yang telah memberikan kepercayaan kepada saya sepanjang dua tahun berada dalam kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar. Tanpa sokongan, teguran dan keyakinan yang diberikan, saya bukanlah siapa-siapa,” katanya lagi.

Mohamad Amar menerima anugerah tersebut dengan penuh rasa rendah diri dan menyifatkan pengiktirafan itu sebagai satu amanah besar untuk terus berbakti kepada masyarakat, memimpin dengan integriti serta memperjuangkan aspirasi mahasiswa.

Sementara itu, penerima Anugerah Tokoh Siswi 2026, Nadjween Hanie Mohd. Mayan dari Pusat Pengajian Undang-Undang turut menzahirkan rasa syukur atas penghormatan yang diterimanya.

“Pertama sekali, saya merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi atas rezeki dan kesempatan yang dikurniakan kepada saya untuk menerima anugerah ini. Dengan penuh rasa rendah diri, saya amat menghargai pengiktirafan yang diberikan oleh Jawatankuasa Anugerah Tokoh Siswa (ATS) dan Universiti Utara Malaysia (UUM).

“Ucapan terima kasih yang tidak terhingga saya tujukan kepada seluruh ahli keluarga, khususnya Ummi, Bapak, Abang dan Adik, atas segala sokongan, dorongan serta doa yang tidak pernah putus. Tidak dilupakan juga kepada seluruh warga Kelab Pengucapan Awam (UCAP) dan Unit Debat Bahasa Melayu (UDBM) yang sentiasa bersama-sama berjuang dan memberikan komitmen sebagai sebuah pasukan, sekali gus membolehkan saya terus menyumbang kepada kecemerlangan UUM,” katanya.

Setinggi-tinggi penghargaan juga dirakamkan kepada Penasihat Kelab UCAP, Jamaat Alhaffis Mansor atas bimbingan, tunjuk ajar dan sokongan yang tidak pernah luntur, selain itu juga Farhana Balqis, mantan Presiden Kelab UCAP yang telah membimbingnya sejak di peringkat awal sehingga ke hari ini dan juga seluruh pasukan debat UUM.

“Kemenangan ini bukanlah milik saya seorang, sebaliknya menjadi lambang kepada legasi Kelab UCAP yang terus bersinar. Selama bertahun-tahun, warga UCAP telah berhempas pulas mengharumkan nama UUM di persada kebangsaan dan antarabangsa. Justeru, anugerah ini saya terima bukan sekadar sebagai penghargaan kepada diri saya, malah sebagai pengiktirafan buat seluruh pejuang Kelab UCAP yang bersama-sama mengorbankan masa, tenaga dan usaha demi mengangkat nama universiti tercinta.

“Saya berharap dalam tempoh berbaki lebih kurang setahun sebagai siswi UUM, saya masih diberi ruang dan peluang untuk terus menabur ilmu, budi dan bakti. Semoga apabila saya meninggalkan universiti ini kelak, nilai Ilmu, Budi dan Bakti akan terus menjadi pegangan setiap siswa dan siswi UUM, khususnya warga Kelab UCAP, dalam membawa nama universiti dengan penuh amanah, integriti dan kecemerlangan di setiap medan perjuangan.

“Akhir sekali, terima kasih kepada semua yang sentiasa berada di sisi saya. Daripada rakan sebilik, rakan sekelas hinggalah rakan seperjuangan dan sahabat berbual, setiap kenangan bersama kalian akan saya hargai sehingga akhir hayat. Saya berdoa agar selagi hayat dikandung badan, saya akan terus menimba ilmu, berbudi dan berbakti kepada UUM dengan penuh amanah, berintegriti serta berwibawa,” katanya.

Penganugerahan Tokoh Siswa dan Tokoh Siswi UUM 2026 mencerminkan komitmen universiti dalam melahirkan graduan holistik yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki kepimpinan berwibawa, sahsiah terpuji serta semangat untuk terus menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.

Senarai pemenang Anugerah Tokoh Siswa 2026

Anugerah Biru Warna (Utama)
1 Anugerah Tokoh Siswa UUM
Hadiah – Wang tunai RM1,500, Trofi dan Sijil
Mohamad Amar Aidid Mohd Zain

2 Anugerah Tokoh Siswi UUM
Hadiah – Wang tunai RM1,500, Trofi dan Sijil
Nadjween Hanie Mohd Mayan

3 Anugerah Karisma Siswa
Hadiah – Wang tunai RM1,000, Trofi dan Sijil
Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sesi 2024/2025

4 Anugerah Inspirasi Siswa
Hadiah – Wang tunai RM1,000, Trofi dan Sijil
Kelab Kabaddi

5 Anugerah Permata Siswa
Hadiah – Wang tunai RM1,000, Trofi dan Sijil
Sekretariat Orang Asli

Anugerah Mengikut Kategori Dipertandingkan

Kategori Individu
1 Ikon Kepimpinan Siswa
Hadiah – Wang tunai RM500.00, Trofi dan Sijil
Mohamad Amar Aidid Mohd Zain

2 Ikon Inapan Siswa
Hadiah – Wang tunai RM500.00, Trofi dan Sijil
Muqriz Adam Mahadzir

3 Ikon Badan Pelajar (Akademik)
Hadiah – Wang tunai RM500.00, Trofi dan Sijil
Lim Qing Jun – Kelab Beta Gamma Sigma

4 Ikon Badan Pelajar (Bukan Akademik)
Hadiah – Wang tunai RM500.00, Trofi dan Sijil
Muhammad Thaqif Md Razip – Kelab Chapter Kedah

5 Ikon Seni dan Warisan Siswa
Hadiah – Wang tunai RM500.00, Trofi dan Sijil
Noraisyafika Mohammad Nazri

6 Ikon Usahawan Siswa
Hadiah – Wang tunai RM500.00, Trofi dan Sijil
Luqman Hakim Zawawai

7 Ikon Sukan dan Rekreasi Siswa
Hadiah – Wang tunai RM500.00, Trofi dan Sijil
Charlayne Chong Shin Ling

8 Ikon Bicara Siswa
Hadiah – Wang tunai RM500.00, Trofi dan Sijil
Nadjween Hanie Mohd Mayan

9 Ikon Daya Usaha Inovasi Siswa
HADIAH – WANG TUNAI RM500.00, TROFI DAN SIJIL
Muhammad Najmudin Nadzri

10 Ikon Komuniti Siswa
Hadiah – Wang tunai RM500.00, Trofi dan Sijil
Nur Wahidah Ahmad Hilmi

11 Ikon Sukarelawan Siswa
Hadiah – Wang tunai RM500.00, Trofi dan Sijil
Jannati Sakinah Jamil

12 Ikon Inklusif Siswa
Hadiah – Wang tunai RM500.00, Trofi dan Sijil
Ahmad Danial Kamal Mubarak Khan

13 Ikon Perpaduan
Hadiah – Wang tunai RM500.00, Trofi dan Sijil
Ang Yan Wei

14 Ikon Kelestarian
Hadiah – Wang tunai RM500.00, Trofi dan Sijil
Siti Aisyah Kamarudin

15 Anugerah Harapan Siswa
Hadiah – Wang tunai RM500.00, Trofi dan Sijil
Sharweswaraan Kumaraval

16 Anugerah Khas Penasihat Badan Pelajar
Hadiah – Wang tunai RM500.00, Trofi dan Sijil
Jamaat Alhaffis Mansor (Kelab Pengucapan Awam)

Anugerah Mengikut Kategori Dipertandingkan

Kategori Pasukan
1 Anugerah Inapan Siswa Terbaik
Hadiah – Wang tunai RM1,500.00, Trofi dan Sijil
Inapan Siswa Petronas

2 Anugerah Badan Pelajar Terbaik (Akademik)
Hadiah – Wang tunai RM700.00, Trofi dan Sijil
Kelab Perakaunan (NOVAC)

3 Anugerah Badan Pelajar Terbaik (Bukan Akademik)
Hadiah – Wang tunai RM700.00, Trofi dan Sijil
Kelab Pengucapan Awam

4 Anugerah JKPSRS Terbaik
Hadiah – Wang tunai RM700.00, Trofi dan Sijil
Inapan Siswa Malaysia Airlines (MAS)

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button