General

KPT percepat projek pembangunan, laksana PAP dan BIM bagi tingkat kecekapan RMK-13

Gambar Shamsaimi Ezil

SINTOK, 20 Julai 2026: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menggesa semua agensi di bawahnya mempercepatkan pelaksanaan projek pembangunan serta meningkatkan prestasi perbelanjaan pembangunan bagi memastikan setiap peruntukan yang diluluskan dimanfaatkan secara optimum demi memperkukuhkan pembangunan sektor pendidikan tinggi negara.

Ketua Setiausaha KPT, Datuk Ts. Dr. Aminuddin Hassim berkata, prestasi perbelanjaan pembangunan KPT sehingga 6 Julai 2026 masih berada di bawah sasaran apabila merekodkan 40.88 peratus atau RM1.574 bilion, berbanding purata nasional sebanyak 42.27 peratus.

Menurutnya, berdasarkan Laporan Prestasi Perbelanjaan Antara Kementerian yang dikeluarkan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), KPT kini berada di kedudukan ke-13 daripada 28 kementerian, sekali gus memerlukan tindakan penambahbaikan segera bagi mencapai sasaran perbelanjaan sebanyak 55 peratus.

“Kita perlu memastikan setiap peruntukan yang telah disalurkan dibelanjakan mengikut jadual. Prestasi pelaksanaan projek yang baik akan menjadi asas keyakinan kerajaan untuk terus menyalurkan peruntukan pembangunan pada masa hadapan,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Kementerian (JTPK) di EDC-UUM, hari ini.

Beliau turut mengarahkan semua agensi mempercepatkan pelaksanaan projek di bawah Rolling Plan 5 (RP5), Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) selepas mendapati masih terdapat 24 projek yang berada pada status pra-pelaksanaan setakat 17 Julai lalu.

Katanya, penyediaan dokumentasi projek perlu disegerakan bagi membolehkan Surat Setuju Terima (SST) dikeluarkan dalam tahun ini, selain memastikan status kemajuan projek sentiasa dikemas kini melalui sistem MyProject agar selaras dengan keadaan sebenar di lapangan.

Dalam mesyuarat itu, beliau turut memaklumkan KPT akan melaksanakan penyelarasan semula peruntukan pembangunan tahun 2026 dengan memindahkan lebihan peruntukan yang dijangka tidak dapat dibelanjakan kepada projek yang memerlukan tambahan dana serta mempunyai keupayaan untuk melaksanakan perbelanjaan dalam tempoh ditetapkan.

Bagi memperkukuhkan tadbir urus projek, KPT turut menetapkan beberapa langkah baharu terhadap pengurusan projek fasiliti usang, termasuk membatalkan projek yang telah menerima Surat Kelulusan Tukar Peruntukan (SKTP) tetapi masih belum diiklankan atau berada di peringkat awal perolehan.

Dalam masa sama, Dr. Aminuddin berkata, pengurusan projek fizikal KPT bagi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) akan dipacu berasaskan tiga tonggak utama teknologi pembinaan iaitu Industrialised Building System (IBS), Pre-Approved Plan (PAP) dan Building Information Modeling (BIM).

Menurutnya, pendekatan itu mampu mempercepatkan pelaksanaan projek, meningkatkan kualiti pembinaan, menyeragamkan reka bentuk serta mengurangkan kos dan kelewatan melalui penggunaan teknologi digital dan komponen binaan berindustri.

Katanya, semua projek pembangunan KPT bernilai RM100 juta ke atas diwajibkan mencapai skor minimum 70 peratus IBS, manakala penggunaan PAP bagi bangunan akademik standard, kolej kediaman dan makmal komputer serta pelaksanaan BIM kini menjadi keperluan mandatori bagi projek kerajaan.

Selain itu, beliau turut mengarahkan semua agensi di bawah KPT menyegerakan penyediaan dokumen Value Assessment Evaluation (VAE) bagi cadangan projek di bawah Rolling Plan 3 (RP3), RMK-13 bagi melancarkan proses penilaian dan kelulusan projek.

Beliau menegaskan semua pihak perlu menggandakan usaha memandangkan negara kini memasuki suku ketiga tahun ini, sambil memberi jaminan Bahagian Pembangunan KPT akan terus memantau secara berkala serta mengadakan sesi libat urus khas bagi menangani projek yang berdepan isu kritikal.

Terdahulu, Aminuddin turut mendengar taklimat mengenai Akademi Golf Nasional (AGN) sebelum mesyuarat berlangsung, dengan diiringi Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed.

Turut menghadiri mesyuarat itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan; naib-naib canselor universiti awam, wakil Kementerian Kewangan (MOF), Unit Perancang Ekonomi (EPU), Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), UCAS serta pegawai kanan KPT.

Kemudian, Dr. Aminuddin menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Rayuan Tatatertib UUM bersama Jabatan Undang-undang sebelum ke sesi pembentangan di Bilik Mesyuarat Naib Canselor pada sebelah petang dan melawat tapak projek di Dewan Kuliah Gugusan (DKG) 1,2, 3 dan 6.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button