General

MEC SBM kurangkan pencemaran sampah di kawasan pantai

Berita dan gambar Dr. Hafinas Halid dan MEC SBM​

KUALA KEDAH, 19 April 2026: Management Executive Club (MEC), sebuah kelab pelajar di Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) telah menganjurkan program MEC Cleaning Beach Day pada 10 April lalu di Pantai Leman, Kuala Kedah dengan penyertaan seramai 36 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM).

Program ini dianjurkan bagi mewujudkan kesedaran serta memupuk semangat cinta akan alam sekitar dalam kalangan pelajar, selain menggalakkan penglibatan pelajar dalam aktiviti pemeliharaan alam sekitar, khususnya dalam usaha mengurangkan pencemaran sampah di kawasan pantai.

Program ini turut mendapat sokongan daripada pihak Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) apabila empat wakil MBAS telah hadir bagi memberikan pinjaman peralatan untuk aktiviti pembersihan pantai.

Pembantu Kerja Awam (Penyelia) MBAS, Muhammad Helmy Jufry Rusli berkata, program seperti ini amat penting dalam mendidik masyarakat, khususnya golongan pelajar, untuk lebih bertanggungjawab terhadap kebersihan alam sekitar.

Sepanjang program dijalankan, peserta telah melaksanakan aktiviti mengutip sisa plastik dan bekas makanan yang terdapat di sekitar Pantai Leman.

Setiap sampah yang dikutip telah diasingkan mengikut konsep 3R dan dibuang ke tong sampah roro yang telah disediakan oleh pihak E-Idaman bagi tujuan kitar semula. Pihak E-Idaman turut hadir ke lokasi pantai untuk mengangkut sisa sampah.

Sementara itu, Eksekutif Operasi Alor Setar Service Unit, E-Idaman, Mohd Amirul Faidz Hasim berkata, usaha pengasingan sisa di peringkat awal seperti ini sangat membantu dalam meningkatkan keberkesanan proses kitar semula serta mengurangkan jumlah sisa yang dihantar ke tapak pelupusan.

Secara keseluruhannya, program ini berjaya memberikan impak positif kepada pelajar dengan menanam sikap prihatin terhadap alam sekitar serta kesedaran untuk tidak mencemarkan persekitaran.

Pihak penganjur berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memupuk semangat kerjasama dan mengekalkan kebersihan alam sekitar di kawasan pantai.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button