General

MKSK santuni kebajikan staf dan pesara menerusi Bingkisan Aidilfitri 2026

Gambar Unit Kebajikan & Perubatan Staf, Jabatan Sumber Manusia

SINTOK, 15 Mac 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuhkan nilai empati dan kasih sayang melalui inisiatif tahunan Program Ziarah Ramadhan dan Bingkisan Aidilfitri anjuran Jawatankuasa Kebajikan, Majlis Kebajikan, Sukan dan Kebudayaan (MKSK).

Bingkisan Aidilfitri ini dilaksanakan sebagai persediaan menyambut Syawal 1447H, sekali gus menzahirkan keprihatinan universiti terhadap kebajikan warganya.

Program ziarah kali ini memberi tumpuan khusus kepada 65 penerima yang terdiri daripada staf yang menghidap penyakit kronik, keluarga yang mempunyai tanggungan anak Orang Kurang Upaya (OKU), balu kepada staf yang telah meninggal dunia, serta staf kategori B40 yang layak termasuk pesara universiti yang sedang menghadapi masalah kesihatan turut diberikan perhatian.

Pemberian Bingkisan Aidilfitiri ini merupakan simbolik keprihatinan pihak universiti dalam membantu meringankan persiapan menyambut Syawal, sekali gus menceriakan suasana lebaran buat warga kerja dan keluarga yang diraikan.

Antara individu yang disantuni dalam program kali ini termasuklah balu kepada Allahyarham Azizan Abu Bakar, dari Jabatan Hal Ehwal Pelajar (Anita Noh), balu kepada Allahyarham Shahidan Saad dari Jabatan Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi (JHEPPI) (Nor Aziyah Mat Cha) serta suami kepada Allahyarhamah Nor Hafidah Ibrahim, dari Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP) iaitu Mohamad Khairi Ramli.

Selain itu, kunjungan turut dibuat kepada staf yang sedang diuji dengan masalah kesihatan seperti Rohaida Rohani dari Pusat Sukan,  Mohd Sharifuddin Mohd Noordin dari UUMPress, Yati Arikah biti Mohd Yusoff dari Jabatan Sumber Manusia (JSM) dan Prof. Madya Kamaruddin Radzuan dari STML serta pesara universiti termasuk Kamaludin Chin, Mazlan Ashaari, Norazimah Md Nor, Prof. Madya Hamzah Samat, Abdul Wahab Awang, Abdul Shakur Abdullah dan Abu Hassan Abdulah.

Timbalan Pendaftar, Mohd Zulkifli Mohd Noor @ Muhammad berkata, program ini merupakan medium penting untuk memperkukuhkan hubungan silaturahim antara pihak pengurusan universiti dan warga kerja.

“Ia mencerminkan imej UUM sebagai sebuah institusi yang menitikberatkan aspek kebajikan dan kesejahteraan warganya selaras dengan nilai kemanusiaan dan tanggungjawab sosial,” katanya.

Turut membantu menyerahkan Bingkisan Aidilfitri MKSK ini ialah Presiden Persatuan Akademia Universiti Utara Malaysia (PERSATU UUM), Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Kamarul Irwan Abdul Rahim; Setiausaha Kehormat PERSATU, Prof. Madya Dr. Noraziah Che Pa dan Presiden Persatuan Setiausaha Universiti Utara Malaysia (SETIA UUM), Norazlina Mahmud.

Dalam pada itu, antara penerima Bingkisan Aidilfitri, Mazlan Ashaari, 63, bersyukur apabila dirinya masih diingati dan dihargai walaupun telah bersara.

“Alhamdulillah saya rasa bersyukur sangat. Walaupun sudah bersara, masih lagi dihargai dan terima kasih banyak-banyak kepada MKSK UUM yang memberi sumbangan Aidilfitri,” katanya yang bersara pada 2018.

Inisiatif ini membuktikan komitmen berterusan UUM dalam menjaga kebajikan staf dan pesara, sekali gus memastikan ukhuwah dalam kalangan warga universiti kekal utuh walaupun setelah mereka menamatkan perkhidmatan. – Muhammad Syafiz Omar

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button