Pensyarah UUM dilantik sebagai Perunding Kajian PTK Pembangunan Petempatan dan Pekan Kecil Negeri Perlis
Gambar PLANMalaysia Perlis
KANGAR, 9 Jun 2026: Sekumpulan pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) telah dilantik sebagai perunding bagi menjalankan Kajian Rancangan Pelan Tindakan Khas (PTK) Pembangunan Petempatan dan Pekan Kecil Negeri Perlis (PPK) yang dikendalikan oleh PLANMalaysia Perlis.
Pasukan perunding UUM diketuai oleh Dr. Muhammad Hafiz Abd Razak bersama ahli pasukan lain terdiri daripada Prof. Madya Dr. Azlizan Talib, Dr. Aidanajwa Sabri, Dr. Nurfadilah Saadul Kurzi, Dr. Nor Suzylah Sohaimi, Dr. Nurul Rezuana Buyung dan Prof. Madya Sr. Dr. Mohd. Nazaruddin Yusoff.

Dr. Muhammad Hafiz berkata, kajian ini bertujuan memperkukuhkan sistem petempatan negeri Perlis melalui perancangan pembangunan yang lebih tersusun, inklusif dan berdaya saing. Selain itu, kajian ini turut memberi penekanan kepada pengukuhan ekonomi tempatan, khususnya dalam usaha meningkatkan daya saing kawasan luar bandar dan petempatan kecil di negeri tersebut.
Pelantikan pasukan perunding UUM ini adalah bagi tempoh enam bulan bermula Mei 2026 hingga November 2026 di mana pasukan perunding akan menjalankan kajian, analisis lapangan, libat urus bersama pihak berkepentingan serta menyediakan cadangan strategik bagi memperkukuhkan pembangunan petempatan dan pekan kecil di negeri Perlis.
Mesyuarat kick-off penyediaan kajian berkenaan telah diadakan di Kompleks Seri Putra, Persiaran Wawasan, Kangar dan dipengerusikan oleh Exco Hal Ehwal Agama, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kepenggunaan, Sumber Manusia dan Modal Insan, Izizam bin Ibrahim.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh wakil-wakil daripada pelbagai jabatan di negeri Perlis yang berperanan memberikan kerjasama awal, khususnya dalam mengenal pasti maklumat, data dan input yang diperlukan oleh pihak perunding bagi memastikan pelaksanaan kajian berjalan lancar serta menepati keperluan pembangunan negeri.
Selain itu, mesyuarat berkenaan turut menjadi platform awal bagi menyelaras hala tuju, skop kerja, pendekatan kajian serta jangkaan hasil yang akan dibangunkan sepanjang tempoh pelaksanaan kajian.
Pelaksanaan kajian ini turut mencerminkan peranan UUM sebagai universiti pengurusan terkemuka yang aktif menyumbang kepakaran akademik dan penyelidikan dalam menyokong pembangunan negeri, perancangan dasar serta kesejahteraan komuniti setempat.
Dapatan kajian ini diharap dapat menjadi asas kepada pelan tindakan yang lebih berfokus, praktikal dan berimpak tinggi dalam memacu pembangunan petempatan kecil yang mampan di Perlis. – Dr. Aidanajwa Sabri



