Penyelidikan molasses sebagai bio-stimulan berpotensi perkasa petani berpendapatan rendah melalui pertanian vanila lestari
Berita dan gambar Nur Azean Baharom
SINTOK, 21 julai 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Dana Inovasi Sosial dan Kajian Sosial (DIS) sedang melaksanakan satu projek penyelidikan berimpak tinggi yang memfokuskan penggunaan molasses sebagai bio-stimulan semburan daun (foliar spray) bagi meningkatkan pertumbuhan tanaman vanila secara mampan.
Projek ini dilaksanakan melalui kerjasama strategik bersama Kairos Agriculture, sebuah syarikat pertanian bersepadu yang mengusahakan Smart Vanilla Farm pertama di Pulau Pinang.

Projek yang diketuai oleh Pensyarah Kanan dari Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi & Logistik (STML), UUM, Dr. Maheera Mohamad ini bertajuk “Empowering Low-Income Farmers: Leveraging Molasses as a Foliar Spray Bio-Stimulant for Sustainable Vanilla Farming”.
Dr. Maheera berkata, projek ini dibiayai di bawah DIS Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan matlamat memperkasakan komuniti petani berpendapatan rendah melalui penggunaan sumber organik yang lebih lestari serta bernilai ekonomi.
Menurutnya, kajian dijalankan di Kairos Agriculture Smart Vanilla Farm, Permatang Pauh, Pulau Pinang yang terkenal dengan amalan pertanian bersepadu bebas bahan kimia.
“Molasses merupakan hasil sampingan industri penapisan gula yang kaya dengan karbohidrat, vitamin dan mineral surih. Bahan ini berpotensi meningkatkan aktiviti mikroorganisma bermanfaat di dalam tanah, memperbaiki penyerapan nutrien serta merangsang pertumbuhan tanaman secara semula jadi.
“Melalui penyelidikan ini, molasses diaplikasikan sebagai semburan daun bagi menilai keberkesanannya terhadap pertumbuhan pokok vanila berbanding penggunaan baja konvensional,” katanya.
Sepanjang pelaksanaan projek, penyelidik akan menyediakan beberapa kepekatan molasses sebagai rawatan sebelum diaplikasikan secara berkala ke atas tanaman. Prestasi pertumbuhan akan dinilai berdasarkan parameter seperti ketinggian pokok, keluasan daun, perkembangan akar, biomassa, hasil tuaian serta kualiti vanila yang dihasilkan.
Pada masa yang sama, analisis terhadap kesihatan tanah turut dijalankan meliputi kepelbagaian mikroorganisma, aktiviti enzim, kandungan nutrien, nilai pH dan ciri-ciri fizikal tanah.

Selain aspek saintifik, projek ini turut memberi penekanan kepada impak sosial melalui penglibatan komuniti setempat. Seramai 50 orang peserta yang terdiri daripada petani dan pelajar bidang pertanian akan terlibat dalam program latihan, pemindahan ilmu serta aktiviti lapangan.
Pendekatan ini bertujuan meningkatkan pengetahuan komuniti mengenai amalan pertanian mampan, di samping menggalakkan penggunaan bio-stimulan organik sebagai alternatif kepada baja dan racun kimia.
“Penggunaan molasses bukan sahaja berpotensi meningkatkan pertumbuhan dan kualiti tanaman vanila, malah mampu mengurangkan kebergantungan kepada input pertanian berasaskan bahan kimia yang semakin meningkat kosnya.
“Pendekatan ini dijangka dapat membantu petani meningkatkan hasil pengeluaran dengan kos yang lebih rendah, sekali gus menyumbang kepada peningkatan pendapatan komuniti luar bandar,” katanya.
Di samping itu, projek ini menyokong agenda kelestarian negara dengan mengaplikasikan konsep ekonomi kitaran (circular economy) melalui penggunaan semula hasil sampingan industri gula sebagai sumber bernilai tinggi dalam sektor pertanian. Pendekatan ini selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs), khususnya dalam aspek keselamatan makanan, pertanian lestari, inovasi sosial dan kesejahteraan komuniti.
Hasil penyelidikan ini dijangka menjadi rujukan kepada sektor pertanian tempatan dalam memperluaskan penggunaan bio-stimulan organik sebagai teknologi pertanian mampan yang mampu meningkatkan produktiviti, mengukuhkan daya tahan tanaman terhadap tekanan persekitaran serta memperkasakan komuniti petani melalui inovasi berasaskan penyelidikan universiti dan kerjasama industri.



