Profesor IBS UUM cetus inspirasi dalam melahirkan pakar kewangan Islam
Gambar Pusat Pengajian Perniagaan Islam
SINTOK, 7 Julai 2026: Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Sahibus Samahah Profesor Dato’ Dr. Asmadi Mohamed Naim atas pelantikan semula sebagai Ahli Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia bagi penggal 1 Julai 2026 hingga 30 Jun 2029.
Pelantikan semula ini merupakan satu pengiktirafan besar terhadap kewibawaan, kepakaran dan sumbangan beliau dalam bidang Syariah, khususnya dalam pembangunan kewangan Islam, pasaran modal Islam serta tadbir urus Syariah di Malaysia.
Prof. Dato’ Dr. Asmadi yang juga Profesor di IBS, UUM dalam masa yang sama turut memegang amanah sebagai Mufti Negeri Pahang. Kedua-dua peranan tersebut memperlihatkan keupayaan beliau menghubungkan dunia akademik, institusi fatwa dan industri kewangan Islam secara seimbang dan berkesan.
Dr. Asmadi berkata, visi dan misi utama dalam memikul pelbagai amanah tersebut adalah untuk terus melaksanakan tanggungjawab sebagai hamba dan khalifah Allah SWT di muka bumi, di samping terus menyumbang kepada ummah melalui ilmu, penyelidikan, penasihatan dan khidmat kepada masyarakat.
Mengulas mengenai cabaran membahagikan masa antara tugas sebagai ahli akademik, mufti dan penasihat Syariah, beliau menjelaskan bahawa rutin menyelidik, menulis, memberi penasihatan dan menyampaikan kuliah merupakan sebahagian daripada kebiasaan yang telah lama sebati dalam diri seorang ahli akademik.
Katanya, tugas sebagai mufti juga tidak jauh berbeza daripada rutin tersebut, namun memerlukan beberapa penyesuaian dari sudut khalayak dan bentuk penyampaian. Audiens yang sebelum ini banyak melibatkan mahasiswa universiti kini turut merangkumi masyarakat umum, pihak berkuasa dan pembesar negeri.
“Apabila kita menerima tanggungjawab, buatlah tugas tersebut seamanah dan sebaik mungkin,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan generasi muda yang berhasrat mendalami bidang kewangan Islam agar berusaha menjadi insan yang lebih baik melalui penguasaan ilmu, amal dan sikap terus belajar.
Beliau menegaskan, mereka yang ingin menjadi pakar dalam kewangan Islam perlu memiliki pemikiran yang terbuka, sentiasa peka dalam memahami perkembangan semasa serta tetap teguh dengan prinsip Syarak.
Menurutnya lagi, keupayaan menghubungkan khazanah turath dengan realiti semasa dan keperluan industri merupakan antara kemahiran penting yang perlu dimiliki oleh ilmuwan Syariah masa kini. Apabila kemampuan tersebut dapat dibina, industri akan lebih bersedia menerima dan bekerjasama dengan kepakaran Syariah.
Dr. Asmadi turut menzahirkan rasa syukur kerana diberi peluang melibatkan diri secara berterusan dalam bidang kewangan Islam, bermula sebagai pensyarah dan profesor di UUM sejak 1999, terlibat secara langsung dengan industri sejak 2007, serta menyumbang kepada regulator kewangan Islam seperti Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sejak 2013 dan 2014.
Warga IBS mendoakan agar Dr. Asmadi terus diberikan kekuatan, kebijaksanaan dan taufik dalam menjalankan amanah tersebut demi kemaslahatan ummah serta pembangunan kewangan Islam negara.
Sementara itu, Dekan IBS, Prof. Dr. Selamah Maamor berharap agar lebih ramai warga IBS, khususnya pensyarah muda, dapat mencontohi jejak langkah Prof. Dato’ Dr. Asmadi Mohamed Naim yang sentiasa berusaha menunaikan amanah ilmu demi manfaat agama, masyarakat dan ummah.
Menurutnya, Dr. Asmadi merupakan antara tokoh yang banyak memberi inspirasi, khususnya dalam aspek kepimpinan dan pengurusan organisasi Islam.
Dr. Selamah turut mengakui bahawa sehingga kini beliau masih mendapatkan nasihat dan bimbingan daripada Dr. Asmadi dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin akademik.
“Pusat Pengajian Perniagaan Islam amat berbangga dengan pencapaian ini. Ia membuktikan bahawa kepakaran akademik UUM terus mendapat tempat dalam badan penasihat utama negara, khususnya dalam memperkukuh ekosistem pasaran modal Islam yang patuh Syariah dan berdaya saing,” katanya. – Dr. Ahmad Yusairi Yusli



