General

STML terus terajui eksplorasi pressmud sebagai bahan tambah bitumen untuk asfalt lestari

Berita dan gambar Nur Azean Baharom dan Tunku Muhammad Al-Amin Tunku Kasim

SINTOK, 29 Julai 2026: Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menerajui satu penerokaan penyelidikan inovatif bagi memanfaatkan pressmud, iaitu sisa sampingan industri penapisan gula, sebagai bahan tambah bio dalam penghasilan bitumen terubah suai untuk pembinaan turapan jalan yang lebih lestari.

Penyelidikan bertajuk “Experimental Evaluation of Pressmud-Modified Bitumen: A Rheological and Performance Characterisation for Sustainable Pavement Construction” diketuai oleh Pensyarah Kanan STML, Dr. Maheera Mohamad yang mempunyai kepakaran dalam bidang Teknologi dan Kejuruteraan Alam Sekitar.

Dr. Maheera berkata, penyelidikan ini merupakan kesinambungan kepada siri penerokaan beliau dalam memperluaskan penggunaan pressmud sebagai bahan bernilai tambah, khususnya dalam sektor pertanian, bahan binaan, rawatan alam sekitar dan kini teknologi pembinaan jalan.

“Pressmud bukan sekadar sisa industri yang perlu dilupuskan. Bahan ini mengandungi komponen organik berserat seperti lignin dan selulosa, selain bahan mineral seperti kalsium dan silika yang berpotensi mempengaruhi sifat fizikal serta reologi bitumen.

“Penyelidikan ini membuka dimensi baharu dalam penerokaan pressmud, daripada penggunaannya dalam sistem statik seperti tanah dan bata simen kepada aplikasi yang lebih kompleks dan dinamik dalam bahan pengikat bitumen,” katanya.

Sampel bitumen terubah suai pressmud akan diuji menggunakan peralatan khusus seperti Dynamic Shear Rheometer (DSR) dan Rolling Thin Film Oven Test (RTFOT), selaras dengan piawaian ASTM dan AASHTO. Penyelidikan turut menentukan suhu, tempoh dan kadar nisbah yang optimum bagi menghasilkan campuran bitumen-pressmud yang homogenius dan stabil.

Dr. Maheera berkata, inovasi tersebut berpotensi mengurangkan kebergantungan sektor pembinaan jalan terhadap bitumen berasaskan petroleum, di samping menyediakan kaedah pengurusan pressmud yang lebih mampan kepada industri gula.

“Sekiranya formulasi optimum berjaya dibangunkan, pressmud berpotensi digunakan sebagai bahan tambah dalam campuran asfalt panas bagi pembinaan dan penyelenggaraan jalan, khususnya jalan dengan jumlah trafik rendah hingga sederhana.

“Dalam jangka panjang, hasil kajian ini boleh dikembangkan kepada penghasilan produk komersial seperti bitumen terubah suai bio atau pressmud-modified bitumen masterbatch untuk kegunaan loji pencampuran asfalt,” katanya.

MSM Malaysia Holdings Berhad pula dikenal pasti sebagai rakan industri yang akan menyokong penyelidikan melalui pembekalan bahan mentah pressmud, perkongsian maklumat teknikal serta maklum balas berkaitan potensi kebolehgunaan dan pengkomersialan teknologi berkenaan.

Antara hasil yang disasarkan ialah formulasi optimum bitumen terubah suai pressmud, pembangunan model empirikal berkaitan prestasi bahan, penerbitan jurnal berindeks, pemfailan harta intelek dan penyediaan laporan teknikal amalan penggunaan pressmud sebagai bahan tambah dalam bitumen.

Inovasi ini mendukung prinsip ekonomi kitaran dengan mentransformasikan sisa industri kepada sumber bahan termaju bernilai tinggi. Pada masa sama, penyelidikan tersebut menyumbang kepada Matlamat Pembangunan Mampan, khususnya SDG 9: Industri, Inovasi dan Infrastruktur serta SDG 12: Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab.

Penerokaan ini sekali gus mengukuhkan kedudukan UUM sebagai institusi yang bukan sahaja menerajui bidang pengurusan, malah aktif membangunkan penyelesaian teknologi hijau yang mampu memberi impak kepada industri, masyarakat dan kelestarian alam sekitar.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button