General

Tabung Kebajikan 1 Alumni 1 Ringgit ringankan beban alumni yang diuji

Gambar Pusat Alumni

PETALING JAYA, 20 Julai 2026: Prihatin terhadap kebajikan alumni, Pusat Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan lawatan kebajikan menerusi program Alumni Care bagi menziarahi Akma Zuraida Abu Hanipah, alumni Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan (2005) yang kini sedang menerima rawatan akibat kanser rektum tahap empat.

Program Alumni Care merupakan antara inisiatif berterusan Alumni Centre UUM dalam memastikan kebajikan alumni sentiasa diberi perhatian, khususnya kepada mereka yang berdepan dengan ujian kesihatan, bencana atau kesukaran hidup.

Dalam kesempatan itu, Pengarah Pusat Alumni, Prof. Madya Dr. Lily Julienti Abu Bakar menzahirkan sokongan moral kepada Akma Zuraida dan keluarga sebagai tanda keprihatinan warga UUM, selain menyampaikan doa agar dipermudahkan urusan serta dikurniakan kesembuhan dalam menghadapi ujian kesihatan yang dialami.

Alumni UUM itu merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pusat Alumni atas keprihatinan dan sokongan yang diberikan.

Menurutnya, lawatan tersebut bukan sahaja memberikan bantuan, malah menjadi suntikan semangat untuk terus tabah menghadapi ujian.

“Saya amat bersyukur dan terharu atas keprihatinan yang dizahirkan oleh Pusat Alumni UUM melalui kunjungan ini. Kehadiran pihak universiti bukan sahaja memberikan bantuan, malah menjadi sumber kekuatan dan semangat kepada saya serta keluarga untuk terus tabah menghadapi ujian ini.

“Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga alumni yang sentiasa prihatin dan menyumbang melalui Kempen 1 Alumni 1 Ringgit,” katanya.

Sumbangan tabung kebajikan menerusi Kempen 1 Alumni 1 Ringgit, sebuah inisiatif kebajikan yang menggalakkan alumni UUM menyumbang secara sukarela bagi membantu rakan-rakan alumni yang memerlukan. Melalui semangat kebersamaan dan keprihatinan, setiap sumbangan, walaupun kecil, mampu memberi sinar harapan kepada mereka yang sedang diuji.

Sehubungan itu, Pusat Alumni UUM menyeru seluruh warga alumni untuk terus menyokong Kempen 1 Alumni 1 Ringgit agar lebih ramai alumni yang memerlukan dapat dibantu.

Semangat saling membantu dan menyantuni ini diharapkan akan terus memperkukuh ikatan kekeluargaan dalam komuniti alumni UUM serta membuktikan bahawa hubungan sesama alumni kekal utuh walaupun selepas menamatkan pengajian. – Amelia Hakimi

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button