TESCE STML bentang cadangan kerjasama strategik kepada Wilayah Pembangunan Ekonomi Pahang Barat Plus
Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Halim Mad Lazim
PAHANG, 13 Julai 2026: Technology and Supply Chain Excellence Institute (TESCE), Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Universiti Utara Malaysia (UUM) memperkukuhkan jaringan kerjasama strategik melalui kunjungan hormat dan pembentangan cadangan inisiatif kerjasama kepada Ketua Pegawai Eksekutif Wilayah Pembangunan Ekonomi Pahang Barat Plus, Dato’ Suris Mihat pada 29 Jun lalu.
Delegasi Felo Penyelidik Kanan TESCE STML terdiri daripada Prof. Madya Dr. Halim Mad Lazim, Prof. Madya Dr. Hendrik Lamsali, Prof. Madya Dr. Mohamed Najib Salleh, Prof. Madya Dr. Wan Nadzri Osman dan Prof. Dr. Che Azlan Taib telah membentangkan beberapa cadangan kerjasama strategik bagi menyokong agenda pembangunan ekonomi dan sosial Wilayah Pembangunan Ekonomi Pahang Barat Plus.

Dr. Halim berkata, pembentangan tersebut memberi penekanan kepada pelaksanaan penyelidikan berimpak tinggi, pembangunan modal insan, konsultansi, latihan profesional, pemindahan ilmu dan teknologi, serta penyediaan penyelesaian berasaskan bukti untuk menyokong pembangunan wilayah secara mampan.
Menurutnya, antara cadangan utama ialah pelaksanaan Kajian Asas (Baseline Study) Wilayah Pembangunan Ekonomi Pahang Barat Plus yang merangkumi sektor pelancongan, pertanian, perhutanan, sumber mineral, perkhidmatan dan pembangunan modal insan.
Kajian ini dijangka menjadi rujukan penting dalam merangka strategi pembangunan, mengenal pasti potensi ekonomi baharu, serta memperkukuh daya saing wilayah melalui pendekatan berasaskan data dan analisis saintifik.

Selain itu, kedua-dua pihak turut membincangkan potensi kerjasama dalam bidang transformasi digital, pengurusan rantaian bekalan, kelestarian, inovasi, pembangunan bakat, dan pengkomersialan hasil penyelidikan.
Dato’ Suris menyambut baik cadangan yang dikemukakan dan menyatakan kesediaan Wilayah Pembangunan Ekonomi Pahang Barat Plus untuk meneroka peluang kerjasama dengan UUM, khususnya melalui kepakaran TESCE STML dalam bidang teknologi, pengurusan operasi dan rantaian bekalan.
Pertemuan tersebut diakhiri dengan komitmen kedua-dua pihak untuk memperincikan pelaksanaan projek-projek strategik yang dapat memberi manfaat kepada kerajaan, industri dan masyarakat setempat.



