General

TNCPI UUM tinjau pelaksanaan Projek Batik Tanah Lembah Bujang, Merbok

Berita dan gambar Dr. Asmidah Alwi

MERBOK, 9 Jun 2026: Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr Ram Al Jaffri Saad telah mengadakan kunjungan ke Kampung Hilir, Merbok bagi meninjau secara dekat pelaksanaan projek Batik Tanah Lembah Bujang (BTLB) yang sedang giat dilaksanakan oleh Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Dekan SCIMPA, Prof. Madya Gs. Dr. Ruzinoor Che Mat berkata, kunjungan tersebut bertujuan melihat perkembangan projek penyelidikan berasaskan komuniti yang memfokuskan kepada pembangunan produk batik beridentitikan warisan tempatan melalui penggunaan tanah sebagai medium pewarnaan dan inspirasi rekaan berteraskan khazanah Lembah Bujang.

Sepanjang sesi lawatan, delegasi berpeluang melihat sendiri proses penghasilan Batik Tanah Lembah Bujang, termasuk demonstrasi penggunaan tanah sebagai bahan utama dalam menghasilkan warna dan corak batik yang unik, berbeza daripada teknik batik konvensional seperti batik canting.

Mereka juga turut diberi penerangan berkaitan pembangunan motif BTLB yang diinspirasikan daripada elemen geo-arkeologi, batuan purba, flora dan fauna Lembah Bujang, sekali gus mengangkat identiti sejarah dan warisan tempatan ke dalam penghasilan tekstil kreatif.

Menariknya, Dr Ram Al Jaffri bersama delegasi turut berpeluang merasai sendiri pengalaman menghasilkan kain Batik Tanah Lembah Bujang melalui sesi hands-on yang dikendalikan oleh pasukan projek dan komuniti artisan.

Pengalaman tersebut memberi pendedahan secara langsung mengenai proses penyediaan warna, teknik aplikasi motif serta keunikan penghasilan batik tanah yang memerlukan kreativiti dan ketelitian tersendiri. Penglibatan secara langsung ini bukan sahaja memberikan pemahaman lebih mendalam terhadap inovasi yang dibangunkan, malah memperlihatkan potensi BTLB sebagai produk warisan kreatif yang mampu diketengahkan kepada masyarakat dan industri.

BTLB merupakan projek penyelidikan yang dilaksanakan oleh SCIMPA di bawah Geran TRANS melalui kerjasama strategik bersama Koperasi Usahawan Pelancongan Lembah Bujang (KUSPEL) yang mengetengahkan pendekatan penyelidikan berasaskan komuniti (community-based research), dengan memberi penekanan kepada pemindahan ilmu, pembangunan kemahiran dan pemerkasaan komuniti setempat melalui industri kreatif berasaskan warisan.

Pendekatan komuniti yang diterapkan dalam projek ini membuka ruang kepada komuniti terpilih untuk terlibat secara langsung dalam pembangunan produk kreatif beridentitikan warisan, di samping memperluaskan peluang ekonomi melalui penghasilan produk berasaskan budaya tempatan.

Projek ini juga berperanan sebagai medium pemindahan ilmu antara universiti dan masyarakat apabila hasil penyelidikan diterjemahkan kepada aplikasi praktikal yang boleh dimanfaatkan secara langsung oleh komuniti.

Dalam lawatan tersebut, Dr. Ram Al Jaffri turut menzahirkan penghargaan terhadap usaha penyelidik dalam membangunkan inovasi berasaskan budaya tempatan yang bukan sahaja mempunyai nilai akademik dan penyelidikan, malah berpotensi menyumbang kepada pembangunan komuniti, pelancongan budaya dan ekonomi kreatif setempat.

Beliau turut menekankan kepentingan penyelidikan berimpak tinggi yang mampu diterjemahkan kepada manfaat nyata kepada masyarakat, selari dengan aspirasi universiti dalam memperkukuhkan agenda penyelidikan dan inovasi yang memberi nilai tambah kepada komuniti.

Kunjungan ini secara tidak langsung membuktikan komitmen universiti dalam menyokong projek penyelidikan berimpak sosial yang mampu menghubungkan kepakaran akademik dengan keperluan komuniti, selain memperkukuhkan usaha pemeliharaan warisan budaya tempatan melalui pendekatan inovatif dan lestari.

Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Pengarah Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ICC), Prof. Madya Dr. Ani Munirah Mohamad; Penyelaras di Jabatan Hal Ehwal Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi, Dr. Siti Salmi Jamali dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi SCIMPA, Prof. Madya Dr. Syamsul Bahrin Zaibon.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button