General

Tun Ahmad Fuzi kongsi perspektif melahirkan diplomat masa hadapan dalam cabaran diplomasi moden

Gambar Muhammad Shamsul Shafie

SINTOK, 10 Jun 2026: Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri dan Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak telah berkongsi pengalaman serta pandangan beliau mengenai cabaran diplomasi moden dalam program SOIS Ambassadorial Talk.

Program anjuran Pusat Pengajian Antarabangsa (SOIS) itu menghimpunkan pelajar, ahli akademik dan warga pentadbiran universiti bagi mendengar perkongsian bertemakan ‘Preparing Future-Ready Diplomats in a Rapidly Changing World: A Personal Perspective’ di Auditorium SOIS, Universiti Utara Malaysia (UUM), hari ini.

Tun Ahmad Fuzi berkata, dunia yang bakal dihadapi oleh diplomat muda hari ini jauh berbeza berbanding era 1970-an hingga awal 2000-an yang ketika itu menyaksikan kewujudan blok ideologi yang jelas, institusi antarabangsa yang lebih stabil dan sistem pelbagai hala yang lebih teratur.

Menurutnya, walaupun kemajuan dalam pelbagai bidang telah membawa perubahan besar kepada kehidupan manusia, dunia kini berhadapan pelbagai cabaran yang mencetuskan kebimbangan dan ketidakpastian di peringkat global.

Katanya, antara cabaran tersebut termasuk ketidaktentuan geopolitik, pendapat ideologi, penghakisan norma antarabangsa, pemecahan ekonomi global, penggunaan perdagangan dan teknologi sebagai senjata geopolitik, gangguan rantaian bekalan, serangan siber, perang maklumat serta krisis perubahan iklim.

Tun Ahmad Fuzi berkata, konflik berterusan di Gaza, Lebanon, Ukraine, Iran dan beberapa wilayah lain telah menyumbang kepada perpecahan serta memaksa banyak negara membuat pilihan berdasarkan kepentingan nasional masing-masing.

“Prinsip keadilan dan undang-undang antarabangsa semakin diketepikan apabila kuasa lebih diutamakan berbanding prinsip yang betul,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa pendekatan transaksi dalam hubungan ekonomi antarabangsa semakin ketara, sekali gus memberi tekanan kepada globalisasi dan pakatan kerjasama diplomatik dan ekonomi (multilateralisme) yang sebelum ini dianggap sebagai pemangkin utama kemakmuran dunia.

Menurutnya, kesan daripada perkembangan tersebut dirasai secara langsung oleh masyarakat global apabila sesuatu konflik atau gangguan di satu kawasan mampu mempengaruhi harga makanan, keselamatan tenaga, aliran migrasi serta kestabilan politik dan ekonomi di negara lain.

Dalam pada itu, katanya, perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan media sosial turut mengubah landskap hubungan antarabangsa di mana AI sedang membentuk semula pasaran pekerjaan, manakala media sosial berupaya mempengaruhi dan memecahbelahkan masyarakat dalam tempoh yang singkat melalui penyebaran maklumat dan maklumat palsu.

Sehubungan itu, beliau berpandangan bahawa amalan diplomasi tradisional perlu berubah mengikut peredaran zaman.

“Diplomasi tidak lagi boleh terbatas kepada majlis rasmi, protokol dan rundingan di dewan-dewan besar, sebaliknya diplomat masa depan perlu menjadi lebih daripada sekadar penjawat awam.

“Diplomat masa depan perlu memiliki keupayaan berfikir secara strategik, mengurus ketidaktentuan, memahami teknologi serta berupaya mengekalkan prinsip dan kepentingan negara dalam persekitaran antarabangsa yang semakin kompleks,” katanya.

Justeru, beliau menyeru generasi baharu diplomat Malaysia supaya bersedia menghadapi cabaran baharu dan memainkan peranan penting dalam mempertahankan diplomasi berprinsip serta memperkukuhkan kedudukan Malaysia di persada antarabangsa.

Menurutnya, diplomat tidak boleh hanya bergantung kepada pengetahuan mengenai politik dan hubungan antarabangsa semata-mata, sebaliknya perlu memahami aspek ekonomi, perdagangan, kewangan, keselamatan, sejarah, budaya, sains dan teknologi.

Tun Ahmad Fuzi turut menegaskan bahawa pembelajaran sepanjang hayat amat penting dalam dunia yang semakin kompleks dan saling berkait.

“Selain itu, bakal diplomat juga perlu menguasai kemahiran komunikasi, termasuk pengucapan awam, penulisan dokumen rasmi, rundingan serta pengurusan hubungan dengan pelbagai pihak.

“Kemahiran menyampaikan mesej secara jelas dan berkesan dilihat sebagai elemen penting dalam memastikan kepentingan negara dapat dipertahankan melalui saluran diplomasi,” katanya.

Dalam pada itu, diplomat masa kini bukan sahaja berurusan dengan kerajaan asing, malah perlu berinteraksi dengan media antarabangsa, syarikat korporat, badan pemikir, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kumpulan aktivis dan masyarakat digital di seluruh dunia.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa diplomat masa depan perlu menjadi individu yang berpengetahuan luas, berfikiran strategik, mahir berkomunikasi dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi bagi memastikan negara terus relevan dan berpengaruh di peringkat antarabangsa.

Sebelum itu, Dekan SOIS, Prof. Madya Dr. Nazariah Osman selaku moderator telah memperkenalkan latar belakang Tun Ahmad Fuzi.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani dalam ucapan alu-aluannya merakamkan penghargaan atas kesudian Tun Ahmad Fuzi meluangkan masa bersama warga UUM sambil menyifatkan kehadiran beliau sebagai satu penghormatan besar dan peluang berharga kepada pelajar untuk menimba ilmu secara langsung daripada tokoh diplomasi negara.

Menurutnya, Tun Ahmad Fuzi merupakan antara figura penting dalam perkhidmatan diplomatik Malaysia yang telah menabur bakti sejak tahun 1972 sebelum mencapai kemuncak kerjaya sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri.

“Sepanjang perjalanan kerjayanya, beliau terlibat secara langsung dalam pelbagai rundingan dua hala dan pelbagai hala, pengurusan sidang kemuncak ASEAN, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), selain memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan kedudukan Malaysia di persada antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, tajuk yang dibincangkan amat relevan dengan keadaan dunia semasa yang berdepan perubahan geopolitik yang pesat, persaingan kuasa besar yang semakin kompleks, cabaran keselamatan baharu, perkembangan teknologi AI, perubahan iklim serta konflik global yang memberi kesan kepada hubungan antarabangsa.

Menurutnya, diplomat masa hadapan bukan sahaja perlu memahami protokol dan hubungan antara negara, malah perlu memiliki kemahiran berfikir secara strategik, keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan, kebolehan berunding merentasi budaya serta kecekapan memanfaatkan teknologi dalam diplomasi moden.

Dr. Mohd Azizuddin turut menegaskan bahawa pengalaman sebenar yang dikongsi oleh seorang diplomat berpengalaman seperti Tun Ahmad Fuzi merupakan sumber pembelajaran yang tidak dapat diperoleh sepenuhnya melalui buku teks atau kuliah di bilik darjah.

Program tersebut juga dilihat selari dengan aspirasi UUM untuk melahirkan graduan yang mempunyai pemikiran global, berdaya saing di peringkat antarabangsa serta bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.

Pada masa sama, SOIS terus komited memperkukuhkan pendedahan akademik dan profesional kepada pelajar bagi melahirkan pemimpin, pembuat dasar dan diplomat yang berkaliber.

Program diteruskan dengan sesi diskusi bersama panelis iaitu Dr. Mohd Azizuddin dan Pensyarah SOIS, Prof. Madya Dr. Aminurraasyid Yatiban serta sesi soal jawab.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button