General

UUM, Boustead Plantations teroka kerjasama strategik perkasa pertanian pintar dan pembangunan modal insan

Gambar Shamsaimi Ezil

KUALA LUMPUR, 10 Julai 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Boustead Plantations Berhad (BPlant) memperkukuhkan hubungan strategik menerusi perbincangan ke arah pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) yang memfokuskan penyelidikan, pertanian pintar, pembangunan modal insan, pendigitalan serta pemerkasaan ekonomi komuniti.

Pengarah Urusan Boustead, Datuk Zulkarnain Md. Eusope berkata, kerjasama dengan UUM diyakini mampu mempercepatkan usaha transformasi sektor perladangan melalui penerapan teknologi moden, penyelidikan dan inovasi.

Beliau berkata, lawatan kerja syarikatnya ke New Zealand dan Australia baru-baru ini memberi pendedahan terhadap amalan pertanian berteknologi tinggi dan precision farming, sekali gus membuka peluang untuk memperkukuhkan projek pembangunan jagung bijirin yang sedang dirancang.

“UUM mempunyai kepakaran yang boleh dimanfaatkan dalam pembangunan benih, pertanian tepat, mekanisasi, teknologi selepas tuaian, pengurusan sistem pengeluaran serta inovasi pertanian,” katanya di Menara Boustead, petang tadi.

Beliau turut mengalu-alukan penyertaan penyelidik UUM dalam Pusat Kecemerlangan (Centre of Excellence) yang sedang dibangunkan, selain mencadangkan supaya universiti mengadakan pembentangan khas kepada pengurusan tertinggi syarikat bagi memperincikan potensi kerjasama serta penyelesaian yang boleh ditawarkan.

Sementara itu, Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed menyambut baik cadangan tersebut dan bersetuju untuk meneliti pelaksanaannya.

Sesi penerangan dimulakan dengan Pengarah Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC), Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam yang memaklumkan bahawa kekuatan UUM bukan sekadar dalam pengeluaran hasil pertanian, sebaliknya terletak pada kepakaran mengurus dan mentadbir ladang secara sistematik berasaskan penyelidikan serta teknologi.

Menurutnya, universiti memiliki kepakaran dalam bidang pertanian pintar melalui penggunaan dron, kecerdasan buatan (AI), Internet Pelbagai Benda (IoT), analitik data raya serta platform pengurusan ladang bersepadu yang membolehkan operasi dipantau secara masa nyata.

Katanya, UUM juga mempunyai kepakaran dalam bidang Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) serta pemasaran digital berasaskan AI yang mampu membantu industri meningkatkan produktiviti, kecekapan operasi dan daya saing.

Selain itu, beliau berkata, universiti bersedia mengadakan sesi libat urus bersama syarikat bagi membolehkan penyelidik membentangkan teknologi serta penyelesaian yang bersesuaian dengan keperluan industri.

Perbincangan turut menyentuh pembangunan modal insan, perancangan tenaga kerja, pelan penggantian kepimpinan, penilaian infrastruktur perladangan serta keperluan memperluaskan penggunaan automasi dan robotik bagi mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh.

Kedua-dua pihak turut membincangkan potensi kerjasama dalam memperkasakan ekonomi golongan asnaf melalui pembangunan pertanian berasaskan teknologi.

Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC), Prof. Madya Dr. Mohammad Azam Hussain berkata, UUM bersedia menjadi pemudah cara dengan menyediakan latihan, pembangunan kemahiran dan pemindahan teknologi kepada peserta, termasuk penggunaan dron dan teknologi pertanian moden.

Beliau berkata, kerjasama melibatkan universiti, industri, kementerian dan agensi berkaitan mampu membantu mengoptimumkan penggunaan tanah yang masih belum diusahakan, sekali gus meningkatkan taraf sosioekonomi golongan sasar.

Dalam pada itu, Boustead Plantation turut mencadangkan pembangunan Program Executive MBA yang lebih fleksibel, praktikal dan berorientasikan industri bagi memenuhi keperluan golongan profesional, malah Dekan OYAGSB, Prof. Dr. Hasnizam Shaari akan meneliti cadangan tersebut yang dilihat sangat positif mengikut keperluan organisasi.

Pada akhir perbincangan, kedua-dua pihak bersetuju meneruskan usaha memuktamadkan skop Memorandum Persefahaman (MoU) yang bakal merangkumi penyelidikan bersama, pembangunan teknologi, latihan, pembangunan modal insan serta inisiatif pemerkasaan komuniti.

Kerjasama strategik itu dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan teknologi pertanian negara, memperkukuhkan keselamatan makanan serta meningkatkan daya saing sektor agromakanan Malaysia.

Hadir sama, pegawai-pegawai kanan pengurusan tinggi Boustead Plantations; Timbalan Pengarah Jaringan Industri, CUIC, Prof. Madya Dr. Normalisa Md Isa dan Pegawai Pemasaran OYAGSB/UUMKL, Irdina Iwana Hazree Iruan.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button