UUM ketuai perbincangan MoU antara MyQAN, Malaysia Dan Lamemba, Indonesia
Gambar oleh Profesor Dr. Mohd Haniff bin Jedin
SINTOK, 20 Januari 2026 – Bersempena permulaan tahun 2026, Malaysian Higher Education Institutions Quality Assurance Network (MyQAN) terus mengorak langkah proaktif dalam merangka perancangan strategik bersamaThe Institute of Accreditation for Economics, Management, Business, and Accounting Programs (LAMEMBA) dengan mengadakan perbincangan pada pagi ini untuk menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang dijangka akan diadakan pada bulan April 2026 di Jakarta, Indonesia.

Pengarah Pusat Pengurusan Kualiti dan Akreditasi (PPQA), Prof. Dr. Mohd Haniff bin Jedin selaku Presiden MyQAN yang mempengerusikan perbincangan ini berkata, antara objektif utama MoU ini adalah untuk menjalin kerjasama dalam pelaksanaan penilaian akreditasi bagi program Ekonomi, Pengurusan, Perniagaan dan Perakaunan.
Kerjasama ini melibatkan pelantikan penilai yang dikenali sebagai Visiting Assessor, di mana Penilai Program Akademik Malaysia akan dijemput sebagai pemerhati bagi proses penilaian di Indonesia, manakala penilai dari Indonesia pula akan dijemput sebagai pemerhati dalam penilaian yang dijalankan di universiti-universiti berstatus swaakreditasi di Malaysia.
Selain itu, perbincangan ini turut menumpukan kepada peluang kolaborasi yang lebih luas antara universiti-universiti di Malaysia dan Indonesia. Antara agenda lain yang dibincangkan termasuklah aspek penarafan universiti (ranking), program profesor pelawat (visiting professor) serta inisiatif kerjasama akademik yang lain.
Perbincangan ini turut dihadiri oleh Prof. Dr. Ina Primiana, Ketua Eksekutif LAMEMBA; Prof. Christantius Dwiatmadja, Ahli Eksekutif LAMEMBA; serta ahli Jawatankuasa MyQAN, antaranya Secretary II, Dr. Elsa Haniffah Mejia Mohamed (Universiti Malaya), Jawatankuasa International Collaboration, Ts. Dr. Ade Syaheda Wani Marzuki (Universiti Malaysia Sarawak), Jawatankuasa Promosi dan Penerbitan, Prof. Gerald Goh Guan Gan (Multimedia University) dan lain-lain lagi. – Norhayati Mat Nayan



