General

UUM, PDRM hasilkan kamus kompetensi tambah baik tahap perkhidmatan agensi keselamatan

Gambar Muhammad Shamsul Shafie dan Mohd Fuad Hamid

SINTOK, 27 April 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membangunkan Kamus Kompetensi Tingkah Laku Kepimpinan PDRM yang dilancarkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Dewan Gugusan Kuliah (DKG) 3, hari ini.

Dalam ucapan Saifuddin berkata, PDRM masih memerlukan pandangan daripada pihak luar dalam usaha untuk menambahbaik tahap perkhidmatan agensi keselamatan itu.

Menurutnya, walaupun pasukan polis merupakan salah satu daripada agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri yang telah berusia lebih 200 tahun, ia sentiasa bersikap terbuka untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk universiti.

Katanya, polis sudah ada sebelum UUM ini wujud dan telah membawa timbunan pengalaman yang luar biasa dalam menangani pelbagai isu antaranya termasuk darurat, komunis, sensitiviti agama dan keganasan.

“Apabila PDRM sanggup adakan kolaborasi dengan universiti, maknanya ianya ada satu nilai baik. Dalam banyak kelebihan dimiliki, PDRM masih perlukan pandangan pihak luar untuk memberi penambahbaikan kepada agensi itu dan kita kena hormati mereka.

“Keamanan yang dikecapi dalam negara ini bukanlah berlaku by default tapi by design, yang sebahagiannya adalah hasil daripada ikhtiar pasukan polis termasuklah mengadakan kerjasama dengan pihak universiti,” katanya yang menyokong inisiatif yang diusahakan antara UUM dan PDRM itu.

Beliau berharap dengan kolaborasi ini, PDRM mampu persiap pasukan yang hebat untuk hadapi hari mendatang dengan dunia yang semakin berubah kini.

Kompetensi tingkah laku kepimpinan ini dibangunkan mengikut gred jawatan bermula dengan kompetensi perseorangan (individu) dan akhirnya membentuk kompetensi kepimpinan berpasukan.

Sementara itu, Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, inisiatif membangunkan Kamus Kompetensi Tingkah Laku Kepimpinan ini direalisasikan melalui kerjasama strategik antara PDRM dan UUM.

Menurutnya, usaha ini merupakan satu langkah proaktif dan strategik ke arah memperkukuh kecekapan sumber manusia, selari dengan tuntutan persekitaran keselamatan yang kian kompleks dan mencabar, selain memenuhi keperluan dasar pembangunan modal insan PDRM.

Katanya, penglibatan penyelidik dan pakar UUM dalam projek ini merupakan satu penghormatan besar dan bukti komitmen UUM dalam memperkukuh pembangunan modal insan yang berkualiti tinggi, khususnya dalam perkhidmatan penguatkuasaan undang-undang.

“UUM amat berbangga dapat menjadi sebahagian daripada usaha penting ini yang menyumbang kepada peningkatan kualiti perkhidmatan awam, khususnya dalam konteks keselamatan dan ketenteraman negara.

“Kamus Kompetensi Tingkah Laku kepimpinan PDRM ini bukan sahaja merupakan satu dokumen rujukan, malah ia adalah hasil kajian mendalam, analisis kompetensi serta pemetaan tingkah laku kepimpinan strategik yang berteraskan pendekatan saintifik dan amalan terbaik yang diterima pakai secara global,” katanya.

Dr. Mohd Foad berkata, dengan wujudnya kamus ini, PDRM kini memiliki satu instrumen yang mempunyai kebolehpercayaan (reliability) dan kesahan (validity) yang boleh digunakan untukmengenal pasti, membangun dan menilai keupayaan kepimpinan khususnya bagi jawatan strategik secara lebih menyeluruh, telus dan objektif.

Menurutnya, beliau berharap kerjasama strategik UUM dan PDRM melalui program penilaian ini dapat memantapkan kompetensi pemimpin dalam PDRM masa kini dan di masa hadapan.

Kemudian, Saifuddin bergerak ke Pusat Penilaian Kompetensi di Perpustakaan Sultanah Bahiyah diiringi Dr. Mohd Foad.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KDN, Datuk Awang Alik Jeman; Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay; Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh dan pegawai-pegawai kanan UUM serta PDRM.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button