UUM Press kupas dua buku baharu di PBAKL, angkat isu integriti dan sejarah Nusantara
Gambar UUM Press
KUALA LUMPUR, 2 Jun 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi UUM Press telah mengupas dua buku baharu dalam Resensi Buku yang berlangsung di pentas Republika Merah, Pavilion MAPIM, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), baru-baru ini.
Dua naskhah yang diketengahkan bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) tersebut bertajuk Konsep dan Pengurusan Efektif Tadbir Urus Korporat serta Sejarah Masyarakat Nusantara: Dinamika Identiti, Politik dan Warisan.

Penulis buku Konsep dan Pengurusan Efektif Tadbir Urus Korporat, Prof. Madya Dr. Azmi Mohd berkata, penghasilan naskhah tersebut tercetus daripada kesedaran untuk menyumbang kepakaran kepada masyarakat selepas hampir 30 tahun berkhidmat dalam bidang penguatkuasaan dan pencegahan rasuah di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurutnya, pengukuhan tatakelola yang baik (good governance) kini menjadi agenda kritikal yang ditekankan oleh kerajaan sama ada dalam sektor awam mahupun swasta bagi membendung sebarang pelanggaran integriti.
“Integriti secara mudahnya bermaksud melakukan perkara yang betul (do the right thing). Buku ini bukan sekadar teori, tetapi turut berkongsi kes-kes sebenar pelanggaran integriti, isu ‘fraud’ (penipuan), pemalsuan penyata kewangan korporat, serta bagaimana modus operandi itu dikesan sehingga ke peringkat keputusan mahkamah,” katanya.
Beliau yang kini bertugas sebagai ahli akademik berkata, naskhah berkenaan turut menggariskan strategi efektif dalam pengurusan risiko rasuah serta kaedah pengendalian maklumat pemberi maklumat (whistleblower) yang boleh dijadikan panduan oleh agensi korporat, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT).

Sementara itu, Editor buku Sejarah Masyarakat Nusantara: Dinamika Identiti, Politik dan Warisan, Prof. Madya Dr. Mohamed Ali Haniffa berkata, naskhah setebal 293 halaman itu mengandungi 12 bab komprehensif yang menggabungkan hasil kajian para sarjana terkemuka dari Malaysia, Indonesia, dan Brunei Darussalam.
Menurutnya, keunikan buku ini terletak pada pendekatan bottom-up (sejarah dari bawah) yang mengangkat peranan serta sumbangan golongan marjinal atau masyarakat awam yang jarang didendangkan dalam narasi sejarah arus perdana.
“Sejarah bukan sekadar cerita masa lalu, ia adalah cerminan masa kini dan kompas untuk menuju masa hadapan. Buku ini meneliti bagaimana kepulauan Nusantara berkembang melalui penyerapan budaya luar yang akhirnya membentuk jati diri dan keharmonian masyarakat,” katanya yang juga pakar sejarah prakemerdekaan UUM.
Beliau berkata, antara yang dikupas termasuklah impak kedatangan perantau terdahulu seperti dari Aceh dan Kampar, serta sumbangan komuniti imigran India dan China dalam mewujudkan dinamika politik serta warisan di Tanah Melayu.
Majlis resensi buku tersebut turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UUM, Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad serta Pengarah UUM Press, Prof. Madya Dr. Johan Afendi Ibrahim. – Kori Ariff



