General

UUM Press meriahkan PBAKL 2026, tawar lebih 700 judul dan diskaun sehingga 80 peratus

Gambar Zuraizee Zulkifli

KUALA LUMPUR, 2 Jun 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui UUM Press terus memeriahkan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) bermula Jumaat lalu dengan menawarkan lebih 700 judul buku buat pengunjung dan pencinta tegar dunia perbukuan.

Pesta buku terbesar negara yang amat dinanti-nantikan itu berlangsung selama 10 hari bermula 29 Mei hingga 7 Jun, dari jam 10 pagi hingga 10 malam setiap hari.

Pengarah UUM Press, Prof. Madya Dr. Johan Afendi Ibrahim berkata, penerbit universiti ini akan beroperasi di dua lokasi strategik di Aras 2 WTCKL, iaitu di Pavilion MAPIM (Dewan Tun Dr Ismail) dan Bilik Mawar S-105.

“UUM Press menawarkan pelbagai promosi menarik termasuk jualan buku terpilih pada harga serendah RM5, potongan diskaun antara 15 hingga 80 peratus dan jualan secara kombo yang turut disediakan bagi memberikan lebih penjimatan dan pulangan berbaloi kepada pelanggan,” katanya.

Tambah Dr. Johan lagi, dua sesi program resensi buku membabitkan empat judul terpilih turut dianjurkan di Pentas Republika Merah MAPIM, Pavilion MAPIM bagi menyemarakkan lagi pengisian ilmiah sepanjang acara berlangsung.

“Sesi pertama yang akan berlangsung pada 31 Mei ini bakal mengulas naskhah Sejarah Masyarakat Nusantara: Dinamika Identiti, Politik dan Warisan serta Konsep dan Pengurusan Efektif Tadbir Urus Korporat.

Sesi kedua pula akan berlangsung pada 3 Jun yang bakal membincangkan buku Perubahan Media dan Tsunami Politik Malaysia dan I Do Not Teach, I Mediate Learning yang akan berlangsung pada pukul 2.00 sehingga 4.00 petang,” katanya.

Bagi mereka yang tidak dapat hadir secara fizikal ke WTCKL, penganjuran kali ini turut diperluas secara dalam talian menerusi platform PBAKL Online @ Book Capital. Platform digital yang berlangsung lebih awal iaitu bermula 25 Mei hingga 14 Jun ini menyediakan pelbagai promosi eksklusif serta baucar diskaun setiap hari demi manfaat pembeli di seluruh negara.

Majlis perasmian PBAKL2026 yang menghimpunkan lebih 700 reruai pameran tempatan serta antarabangsa itu akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 29 Mei ini di WTCKL. – Mohammad Amzari Bakri

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button