WHealth Care 2026 dan Do-It Fest 4.0 Tarik Lebih 500 Peserta Meriahkan Festival Kewangan di Changlun
Gambar Muhammad Nazmi Abdullah Thani dan Harith Hilmi
CHANGLUN, 10 Jun 2026: Program WHealth Care 2026 dan Do-It Fest 4.0 yang berlangsung di pekarangan parkir CMart, di sini berjaya menarik penyertaan lebih 500 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Program anjuran bersama Dana Sosial Takaful, Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) dan Institut Penyelidikan dan inovasi Zakat (IPIZ), Universiti Utara Malaysia (UUM) ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan literasi kewangan dan penjagaan kesihatan secara holistik.

Majlis telah dimulakan dengan acara Do-It Fun Walk disempurnakan oleh Dekan IBS UUM, Prof. Dr. Selamah Maamor yang turut menyatakan komitmen IBS dalam memperkasakan kesejahteraan masyarakat melalui pendidikan kewangan dan program pembangunan komuniti yang berimpak tinggi.
Sepanjang program berlangsung, pengunjung berpeluang menyertai pelbagai aktiviti menarik yang dirancang untuk semua peringkat umur. Antaranya ialah Finance Trivia Challenge, Pertandingan Debat, Booth Literasi Kewangan, Pertandingan Mewarna, serta gerai makanan yang memeriahkan suasana festival, selain saringan kesihatan percuma menerusi inisiatif WHealth Care bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penjagaan kesihatan dan pengesanan awal penyakit.
Selain itu, reruai literasi kewangan yang disediakan telah memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan maklumat berkaitan pengurusan kewangan, perancangan kewangan Islam, perlindungan takaful serta amalan kewangan yang lestari.

Pengarah Program, Prof. Madya Dr. Norazlina Abd. Wahab berkata, penganjuran WHealth Care 2026 dan Do-It Fest 4.0 telah berjaya mencapai objektif yang ditetapkan, khususnya dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan literasi kewangan dan penjagaan kesihatan.
Menurutnya, sambutan yang diterima daripada lebih 500 peserta membuktikan bahawa program berasaskan komuniti yang menggabungkan elemen pendidikan, kesihatan dan aktiviti rekreasi mampu menarik minat masyarakat serta memberi impak yang positif.
“Kita merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua rakan strategik, agensi dan industri yang telah memberikan kerjasama serta sokongan dalam menjayakan program ini yang telah menyumbang kepakaran, perkongsian ilmu serta pelbagai aktiviti bermanfaat kepada peserta.

“Penghargaan khusus turut diberikan kepada CMart Changlun dan Cooperative Digital Experts (Codex) Kedah Berhad atas kesudian menyediakan lokasi program yang strategik dan kondusif, serta sumbangan tenaga kerja, sokongan logistik dan tajaan yang telah membantu melancarkan pelaksanaan program,” katanya.
Komitmen dan kerjasama erat daripada semua pihak membuktikan bahawa sinergi antara universiti, agensi kerajaan dan sektor industri mampu menghasilkan impak yang lebih besar kepada pembangunan dan kesejahteraan masyarakat.
Majlis penutup dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pengarah IPIZ, Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Majid yang juga merupakan Pengerusi Majlis Profesor Universiti Utara Malaysia.

Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program tersebut serta menekankan kepentingan sinergi antara institusi pendidikan, komuniti dan industri dalam membangunkan masyarakat yang celik kewangan, sihat dan berdaya tahan.
Kejayaan penganjuran WHealth Care 2026 dan Do-It Fest 4.0 membuktikan komitmen berterusan IBS UUM dalam melaksanakan program yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat selaras dengan aspirasi universiti untuk memacu kecemerlangan demi kesejahteraan ummah. – Prof. Madya Dr. Norazlina Abd.Wahab



