Lifestyle

Jalinan Kasih PENDIDIK 2.0 perkukuh hubungan universiti dan komuniti

KERIAN, 12 Mac 2025 – Program Jalinan Kasih PENDIDIK 2.0 yang berlangsung selama tiga hari di Mukim Tanjung Piandang, Kerian, Perak, berjaya memperkukuh hubungan antara Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan masyarakat setempat.

Program anjuran Persatuan Pengurusan Pendidikan (PENDIDIK) ini melibatkan seramai 29 pelajar dari Pusat Pengajian Pendidikan (SOE) UUM yang berpeluang menjalani kehidupan bersama keluarga angkat dan menyertai pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

Program ini bertujuan meningkatkan kemahiran komunikasi peserta melalui interaksi bersama komuniti serta menggalakkan mereka mempraktikkan nilai kepimpinan dan tanggungjawab sosial.

Sepanjang program, pelajar terlibat dalam aktiviti gotong-royong di Surau Pasir Gedabu, sesi pembelajaran “English Power Play” bersama kanak-kanak kampung, serta aktiviti santai seperti BBQ dan bersiar-siar di Ban Pecah.

Keberkesanan program ini dapat dilihat apabila pelajar lebih yakin berkomunikasi dan berinteraksi dengan masyarakat setempat.

Pengarah Program Jalinan Kasih PENDIDIK 2.0, Ummi Qistina Zainuddin, menyatakan harapannya agar program ini dapat diteruskan pada masa akan datang dengan lebih banyak penglibatan daripada mahasiswa dan masyarakat setempat.

Melalui program ini, pelajar bukan sahaja memperoleh pengalaman baharu tetapi juga didedahkan kepada cara pemikiran baharu yang boleh meningkatkan kemahiran insaniah mereka di mana pelajar didedahkan untuk membina hubungan baik dengan sesiapa sahaja tanpa mengira perbezaan yang ada.

Dengan kejayaan penganjuran program ini, pihak PENDIDIK berharap lebih banyak kerjasama dengan komuniti luar bandar dapat diwujudkan dalam usaha menyokong aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ke-4 dan ke-11, iaitu Pendidikan Berkualiti dan Bandar serta Komuniti yang Mampan. – Dr. Nurul Huda Ibrahim

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button