Lifestyle

Sambutan meriah Karnival Muhibah, penuhi hari dengan keceriaan

SINTOK, 23 Januari 2025: Program Karnival Muhibah PGDE 2025 anjuran Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), universiti Utara Malaysia berlangsung penuh meriah di Foyer Perpustakaan Sultanah Bahiyah, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Program dengan kerjasama pelajar Diploma Pascasiwazah Pendidikan (PGDE)  bertujuan memberi pendedahan kepada warga universiti dan masyarakat umum mengenai Program PGDE sekali gus mempromosikan bidang PGDE yang ditawarkan di UUM khususnya kepada individu yang berminat untuk menceburi kerjaya sebagai seorang pendidik.

Program berlangsung meriah seawal 8.00 pagi  itu menyaksikan pelbagai aktiviti menarik seperti Larian Klasik, Senamrobik, Pertandingan Inovasi Pendidikan, Pertandingan Peragaan Busana Klasik, Pameran Permainan Tradisional, Pemeriksaan Kesihatan serta cabutan bertuah dengan tema Budaya Klasik.

Dekan Hal Ehwal Murid, Prof. Madya Dr. Zainuddin Omar menekankan untuk menjadi seorang pendidik yang berjaya, pendidik perlulah menjadi seorang pemikir yang kreatif.

“Guru perlulah kreatif dalam mengajar anak murid, misalnya mengajar menggunakan alat muzik yang boleh menarik perhatian murid.

“Guru juga boleh mengadakan pelbagai program di sekolah seperti karnival yang dianjurkan ini. Ambil dan timba pengalaman sebanyak mungkin yang boleh dibawa ke alam sekolah nanti,” katanya.

Beliau turut merasmikan upacara pelepasan Larian Klasik dengan jarak sejauh 5 kilometer. Larian ini mendapat penyertaan yang menggalakkan daripada kira-kira 200 peserta termasuk staf UUM, pelajar prasiswazah, pelajar pascasiswazah serta masyarakat.

Larian Klasik menonjolkan elemen klasik dengan tema pakaian larian mengabungkan elemen klasik kain batik dan kain pelikat ketika larian. Menarik tentang larian ini, peserta dapat menikmati juadah klasik iaitu kuih-muih tradisional kedah di beberapa hentian serta meneka dengan betul juadah tersebut untuk mendapatkan mata hentian untuk dinobatkan sebagai lima pemenang teratas.

Turut berlangsung Pertandingan Inovasi Pelajar dengan bertemakan “Pendidikan Abad Ke-21: Guru Teras Kecemerlangan Insaniah”.

Pertandingan ini disertai oleh sembilan buah kumpulan yang mempamerkan hasil inovasi dalam kategori teknologi dan kokurikulum pendidikan. Masing-masing menunjukkan bakat kreativiti dan hasil seni mereka sepanjang menjalani kuliah semester lepas di hadapan tiga orang juri pertandingan yang dilantik dalam kalangan pensyarah Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), UUM.

Seterusnya, acara yang dinanti-nantikan adalah majlis penutup yang menjadi debaran buat semua peserta untuk mengetahui pemenang.

Majlis Pentutup disempurnakan oleh Dekan, Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), Prof. Madya Dr. Mohamad Khairi Othman.

Beliau menzahirkan ucapan tahniah diatas pengajuran program   yang berlangsung dengan jayanya selain turut menekankan bahawa program seumpama ini terutama senamrobik dan Larian Klasik adalah penting kepada seorang pendidik.

“Program seumpama ini   sangat bagus kerana seiring dengan kehendak KPM iaitu faktor penting yang dinilai untuk menjadi seorang guru adalah pengukuran indeks jisim badan (BMI) yang mempunyai berat ideal.

“Saya lihat penganjur ada menjemput persatuan untuk pemeriksaan kesihatan yang saya kira satu usaha murni bertepatan untuk menyemak BMI bakal pendidik sekalian,” ujarnya.

Karnival ini bukan sahaja meninggalkan kenangan manis tetapi juga menyemai semangat kreatif, sihat, dan inovatif dalam kalangan peserta, seiring dengan aspirasi pendidikan negara.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button