UUM Eco Sintok Trail (EST) 2025 tarik minat peserta tempatan dan antarabangsa
Berita dan gambar Amirudin Hashim
SINTOK, 17 Jun 2025: Pusat Sukan Universiti Utara Malaysia (UUM) telah melakar kejayaan dalam menganjurkan acara sukan lasak apabila UUM Eco Sintok Trail 2025 berlangsung dengan penuh meriah melibatkan penyertaan seramai 1,000 peserta dari seluruh negara dan antarabangsa.
Acara edisi kedua ini menawarkan tiga kategori utama iaitu 5km, 15km dan 30km, telah membawa peserta menempuh laluan denai dalam kawasan hutan Sintok yang mencabar namun mempersonakan.
Pelepasan bagi ketiga-tiga kategori telah disempurnakan oleh Pengarah Pusat Sukan UUM, Dr. Nasiruddin Haron bersama-sama dengan Pengarah Urusan Northern Runners, Mohammad Shahril Salim.
Dr. Nasiruddin berkata, penganjuran acara ini dilaksanakan dengan kerjasama pasukan Northern Runners selaku penganjur utama acara larian di utara, yang berpengalaman dalam mengendalikan acara denai.
Perancangan dan kordinasi acara telah diketuai oleh Amirudin Hashim dan Mohd Fazli Izwan Abd Jalil selaku ”Race Director”, manakala laluan trail pula telah dirancang oleh Tarmizi Musa selaku ”Trail Master”, yang bertanggungjawab dalam merancang laluan serta memastikan keselamatan dan kelancaran perjalanan peserta sepanjang trail. Dengan pengalaman dan kepakarannya, laluan tahun ini dianggap lebih teknikal dan mencabar, namun tetap selamat dan terurus.
Antara sorotan utama tahun ini adalah kejayaan peserta antarabangsa dari Filipina, Francis Lyn Evasco, yang muncul juara kategori 15km Wanita Senior, Benjamat Sophon dari Thailand, naib juara kategori wanita senior, manakala kategori lain dikuasai oleh peserta tempatan yang memberikan saingan sengit dan bersemangat. Acara ini menawarkan jumlah hadiah keseluruhan bernilai RM8,000 termasuk wang tunai, trofi dan barangan tajaan.
Aina Syazana Rahmat dari Melaka yang memenangi tempat pertama kategori 30km Terbuka Wanita berkata, laluan sangat mencabar, penuh dengan pendakian dan laluan teknikal, tetapi ia sangat menyeronokkan dan menguji ketahanan fizikal serta mental.
Sementara itu, Sudiwana Sulong, peserta kategori 30km Lelaki Senior dari Kuala Lumpur berkata, ini pengalaman pertama di Eco Sintok Trail.
“Bukan laluan yang mudah. Route yang disajikan memang memerlukan pengorbanan sifat ego, sifat hensem dan menghilangkan kesabaran yang tebal. Sukarelawan pun sangat membantu,” katanya.
Dengan kerjasama padu antara UUM, Northern Runners dan komuniti sukarelawan, Dr. Nasiruddin mengharapkan acara ini akan menjadi sebagai antara acara larian denai tahunan paling dinantikan, selain memacu perkembangan sukan, pelancongan dan kesejahteraan komuniti.
Pusat Sukan komited menjadikan acara ini antara tarikan utama sukan pelancongan di utara tanah air.