QS 2026: UUM di kedudukan nombor 1 terbaik bidang perakaunan, kewangan
Gambar Norazlina Ahmad
SINTOK, 26 Mac 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus mencipta kejayaan di pentas antarabangsa dalam bidang Perakaunan dan Kewangan apabila berada di kedudukan 101-150 dalam QS World University Rankings by Subject 2026, berbanding tangga 151-200 sebelum ini.
Senarai ranking terbaru ini menyaksikan UUM melonjak ke kedudukan nombor satu terbaik dalam negara bagi indikator sitasi dan H-indeks, sekali gus kedua terbaik secara keseluruhan dalam negara selepas Universiti Malaya.
Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, pencapaian terbaik kali ini dilakar hasil kesungguhan semua warga UUM, khususnya kakitangan akademik di Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Safinaz (TISSA) dan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB).

“Pendorong utama kepada peningkatan ini adalah usaha keras staf TISSA dan SEFB dalam melakukan penyelidikan berimpak tinggi, penerbitan, jaringan industri dan kolaborasi antarabangsa, sekali gus meletakkan UUM makin menyerlah di peringkat nasional dan antarabangsa.
“Selain itu, kualiti dan pengiktirafan antarabangsa program Perakaunan, Perakaunan (Sistem Maklumat), Perakaunan Antarabangsa, Percukaian, Kewangan, Perbankan dan Pengurusan Risiko turut menyumbang kepada permintaan tinggi dalam kalangan pelajar tempatan dan antarabangsa.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pensyarah dan keluarga besar UUM untuk pencapaian ini,” katanya mengulas penarafan global QS yang dikeluarkan semalam.
Dr. Ahmad Martadha berkata, kejayaan ini mengukuhkan lagi kedudukan UUM sebagai antara institusi pendidikan tinggi yang semakin mendapat pengiktirafan dalam bidang pengurusan dan perniagaan.
Selain itu, Subjek Perniagaan & Pengurusan serta Ekonomi & Ekonometrik turut mencatatkan peningkatan dari kedudukan 251-300 pada edisi lalu ke kedudukan 201–250 dunia pada edisi kali ini.
Pencapaian ini menggambarkan kekuatan konsisten UUM dalam bidang perniagaan dan pengurusan, selaras dengan aspirasi universiti untuk menjadi institusi rujukan dalam pendidikan pengurusan di rantau ini.

Sementara itu, UUM buat julung kalinya Subjek Undang-undang berjaya tersenarai dalam QS World University Rankings by Subjects 2026 dengan kedudukan 351-400.
Penyenaraian sulung ini mencerminkan perkembangan positif program undang-undang universiti serta peningkatan reputasi akademik UUM di peringkat antarabangsa.
Kejayaan ini juga menunjukkan kepelbagaian kekuatan akademik UUM yang bukan sahaja tertumpu kepada bidang pengurusan dan perniagaan, malah turut berkembang dalam disiplin lain termasuk undang-undang.
Pencapaian dalam penarafan global ini didorong oleh pelbagai faktor termasuk reputasi akademik, reputasi majikan, impak penyelidikan serta jaringan kerjasama antarabangsa yang semakin kukuh.
Edisi QS World University Rankings by Subjects 2026 kali ini menilai institusi pengajian tinggi berdasarkan 55 bidang khusus yang membentuk lima bidang utama dengan komponen penilaian adalah reputasi akademik, reputasi majikan, sitasi, penerbitan H-Index serta jaringan kolaborasi antarabangsa dalam penyelidikan.
Antara subjek lain yang tersenarai dalam QSWUR by Subject 2026 termasuklah Bahasa Inggeris & Sastera (301-350), Pendidikan (401-450), Matematik (451-500) dan Sains Komputer & Sistem Maklumat (551-600).
Keputusan rasmi QS World University Rankings by Subject 2026 boleh dicapai melalui https://www.topuniversities.com/subject-rankings



