EducationGeneral

Peluang keusahawanan dan pekerjaan gig logistik kepada pelajar berkeperluan khas

Berita dan gambar oleh Dr. Izatul Husna Zakaria/UUM Today

KULIM: Pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menjalankan aktiviti bersama Pejabat Pendidikan Daerah Kulim yang melibatkan 88 pelajar berkeperluan khas berusia 16 hingga 19 tahun dari 13 sekolah, baru-baru ini.

Pengarah projek, Ching Wei Jian berkata, seramai 27 pelajar kelas BPMG3023 Pengangkutan dan Masyarakat dengan kerjasama dari Persatuan Pelajar Logistik dan Transportation (Logtrans) dari Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML) mengambil inisiatif ini memandangkan lebih banyak pendedahan yang perlu diberikan kepada komuniti di kawasan Kulim.

Menurutnya, kerjasama ini adalah hasil usahasama dengan Persatuan Dysleksia Malaysia yang dinaungi oleh Shibly Hassan dan Penolong PPD Pendidikan Khas, PPD Kulim Bandar Baharu, Nurulwazna Mohamad Zuki.

Program ini dimulakan dengan penerangan oleh pelajar tentang keusahawanan dan pekerjaan gig dalam bidang logistik, diikuti slot ceramah dengan perkongsian daripada Nor Fareez Romli dari UPC UUM/NinjaVan Sdn Bhd.

Slot ceramah kedua diberikan oleh Nadhilah Solahuddin dari PERKESO Kedah di mana beliau memberi pendedahan tentang perlindungan kepada pekerja yang bekerja sendiri serta penempatan pekerjaan gig kepada syarikat-syarikat yang memerlukan pekerja. Pihak PERKESO juga mempunyai satu cabang jabatan yang khusus menguruskan penempatan dan kebajikan pekerja yang berkeperluan khas.

Program ini dirasmikan oleh Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Pembelajaran, Pejabat Pendidikan Daerah Kulim / Bandar Baharu, Hasmah Abdullah.

Beliau amat berbesar hati menerima kunjungan daripada delegasi UUM untuk memberi pendedahan dan juga semangat kepada pelajar khususnya kepada pelajar berkeperluan khas untuk terus memajukan diri dalam peluang pekerjaan ataupun pendidikan.

Related Articles

Back to top button