SE-TAUHID 2.0 perkasa wanita dan remaja
Langkawi: Dalam usaha memperkasa wanita dan remaja, Program SE-TAUHID 2.0 for Womenpreneurs and Teenagers 2024 anjuran Pusat Pengajian Bahasa Tamadun dan Falsafah (SLCP) dan Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah diadakan di Pulau Tuba.
Program SE-TAUHID 2.0 dikendalikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerohanian dan Rekreasi, SLCP, Prof. Madya Dr. Mohamad Nizho Abdul Rahman dan Fatin Athirah Fadzillah dari Unit Keusahawanan Sosial (CEDI), tenaga akademik Unit Pengajian Islam, Unit Bahasa Inggeris, Felo Keusahawanan CEDI, pelajar-pelajar keusahawanan sosial (University to Community 2.0 KPT Budi Bites) dan staf pentadbiran SLCP.
Fatin Athirah berkata, program ini merupakan inisiatif untuk memperkasa wanita dan remaja wanita di Pulau Tuba dengan kemahiran keusahawanan dan pemahaman yang mendalam tentang nilai-nilai Tauhid Islam.
Menurutnya, pelaksanaan program ini bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan kemahiran individu, tetapi juga untuk memperkukuh kohesi sosial dalam komuniti melalui pendekatan holistik yang menggabungkan keusahawanan sosial dan pendidikan agama.
Pada hari pertama program, aktiviti dimulakan dengan modul latihan untuk bengkel pembangunan usahawan kecil, di mana 10 wanita dari Pulau Tuba dan Langkawi mendapat pendedahan kepada pengendalian media sosial untuk perniagaan menggunakan telefon bimbit yang dikendalikan oleh pelajar-pelajar Budi Bites, Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI).
Antara pengisian lain adalah sesi “Simple Business Model Canvas” yang dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Armanurah Mohamad, sesi perakaunan asas oleh pelajar Budi Bites dan sesi memasak Bubur Asyura bersama warga Pulau Tuba serta majlis bacaan Yassin dan sesi pengisian agama tentang memperbaiki bacaan Al-Fatihah yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Mohd Nizho Abdul Rahman melibatkan Masjid Al-Wafa, Pulau Tuba dan Koperasi Kepulauan Pulau Tuba dan Selat.
Perasmian Kedai KUNITA disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedict.
Program selama tiga hari yang bermula 15 Ogos itu mendapat tajaan sebanyak RM49,000 daripada Athena Holdings. – Roshita Che Ani