Permainan sukan rakyat meriahkan sambutan Hari Kebangsaan KEJAP
SINTOK: Pelbagai aktiviti yang mengimbau nostalgia zaman lampau telah dianjurkan Jabatan Sumber Manusia sempena sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Perdana, Universiti Utara Malaysia (UUM) baru-baru ini.
Bertemakan ‘Jiwa Merdeka: Kembali ke Akar’, acara ini telah menarik perhatian ramai dengan pelbagai aktiviti permainan sukan rakyat tradisional.
Pendaftar UUM, Ahmad Rasidi Abdullah berkata, tema ‘Jiwa Merdeka: Kembali ke Akar’ diharap dapat memberikan makna yang mendalam kepada semua peserta dan mengingatkan tentang kepentingan menghargai dan memelihara warisan budaya.
Menurutnya, kemeriahan dengan penglibatan staf Jabatan Sumber Manusia yang menunjukkan sokongan padu menunjukkan usaha dalam mempromosikan warisan budaya tempatan.
“Penganjuran acara ini adalah sebahagian daripada usaha KEJAP untuk menggalakkan semangat patriotisme dan memupuk rasa cinta kepada budaya serta tradisi Malaysia dalam kalangan pelajar dan staf UUM.
“Acara ini juga bertujuan untuk merapatkan hubungan antara warga kampus dan masyarakat setempat melalui aktiviti-aktiviti yang mempromosikan semangat kekitaan dan perpaduan,” katanya.
Antara permainan tradisi dimainkan ialah congkak, dam ular, batu seremban, dan jentik tudung botol. Permainan-permainan ini bukan sahaja menghiburkan tetapi juga memberi peluang kepada peserta untuk merasai kembali keseronokan permainan tradisional yang sering kali dilupakan.
Program ini telah diakhiri dengan sesi bergambar dan penyampaian cenderamata kepada semua peserta.